Monday, October 22, 2012

Tangguh hukuman mati pesalah dadah



PADANG RENGAS 20 Okt. - Kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah di negara ini sementara menunggu hasil kajian semula yang dijalankan Pejabat Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar) berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

Menurut beliau, jika dipersetujui, satu inisiatif akan dilakukan bagi mewujudkan moratorium (penangguhan) terhadap hukuman mati terhadap mereka yang didapati bersalah memiliki dadah.

''Hukuman ganti kes pemilikan dadah sedang dikaji Pejabat Peguam Negara. Saya hendak bincang dengan Perdana Menteri supaya untuk kes pemilikan dadah, mereka yang dijatuhi hukuman (mati), kita minta moratorium, jangan digantung sebab kita sedang meneliti hukuman sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Ngor di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata, permohonan moratorium itu wajar memandangkan sebahagian daripada 900 orang yang sedang menunggu hukuman mati ketika ini adalah pesalah dadah.

Ditanya tentang kajian semula hukuman itu, Mohamed Nazri berkata, dilakukan bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia di luar negara seperti China, Columbia, Peru dan Venezuela yang berdepan hukuman mati akibat menjadi keldai dadah.

''Kalau nak selamatkan keldai dadah warga Malaysia yang sebahagian besar tidak sedar diperkudakan, saya nak tanya macam mana Malaysia nak merayu kepada negara berkenaan supaya mereka jangan digantung sedangkan di sini kita gantung. Jadi tidak kenalah," katanya.

Menjawab pertanyaan tentang hukuman terbaik bagi menggantikan hukuman mati mandatori bagi pesalah dadah, Mohamed Nazri berkata, hukuman penjara 30 atau 35 tahun boleh dikenakan kerana kesalahan itu tidak lagi dianggap serius seperti jenayah pembunuhan.

Beliau berkata, jika hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah dimansuhkan, hakim akan menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman bagi pesalah dadah.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, beliau secara peribadi berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-13 sewajarnya diadakan tahun depan bagi membolehkan kerajaan memenuhi mandat pemerintahan selama lima tahun dengan melunaskan janji-janjinya termasuk yang terkandung dalam Bajet 2013.

Katanya, keadaan itu juga akan menyebabkan pakatan pembangkang tidak mempunyai pilihan selain membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

''Kalau diadakan akhir November, bajet belum diluluskan Dewan Negara lagi. Kita mempunyai sistem, apa jua usul dan rang undang-undang hanya akan jadi realiti jika telah dibentang, dibahas dan diluluskan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121021/dn_04/Tangguh-hukuman-mati-pesalah-dadah#ixzz2Fi6HTZBj
© Utusan Melayu (M) Bhd