Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi Pilihanraya Umum ke 12 Singapura dengan mandat yang lebih besar iaitu 69.86% undi popular dalam pilihanraya yang diadakan semalam.
Ini merupakan peningkatan semula yang cukup tinggi dari hanya 60.14% pada tahun 2011 dengan pembangkang dari Parti Pekerja sahaja yang mampu menghantar 6 orang wakil ke Parlimen, dengan kemenangan tipis di Aljuneid yang menyaksikan jika pembangkang kalah dalam kawasan parlimen berkumpulan yang mempunyai 5 orang calon tersebut, parlimen Singapura nyaris mempunyai hanya 1 wakil pembangkang di mana pada penggal yang lalu mereka berjaya menghantar 7 orang wakil rakyat.
PAP dengan itu memenangi 83 dari 89 kerusi yang ditandingi manakala daripada 8 parti pembangkang yang tidak bersatu membentuk pakatan, hanya Parti Pekerja yang berjaya memenangi bakinya.
Keputusan tersebut mengejutkan dan mengecewakan pembangkang di negara tersebut yang menjangkakan akan berlaku satu tsunami politik di Kota Singa itu melihat kepada kekuatan mereka dalam sambutan yang diterima semasa kempen pilihanraya diadakan.
Beberapa Laman Facebook pembangkang memuatnaik gambar profil berwarna hitam lambang berkabung.
Faktor seperti ramainya warganegara baharu kebanyakannya dari India dan China yang menyertai majoriti senyap didakwa sebagai punca kemenangan PAP yang dikatakan memainkan sentimen yang memberi kelebihan kepada mereka seperti rekod kejayaan Singapura di bidang ekonomi, kemajuan, dasar-dasar yang jelas serta kekukuhan matawang berbanding negara-negara jiran, perayaan 50 tahun Singapura dan sentimen nostalgik ke atas mendiang bapa kemerdekaan mereka, Lee Kuan Yew, yang meninggal dunia Mac lalu.
Warganegara baharu Singapura kebanyakannya terdiri dari golongan profesional dan jutawan yang didakwa berjumlah 40% dari penduduk Singapura.
Peta kemenangan PAP (merah) dan WP (biru) dari Straits Times.