Saturday, September 06, 2008

Siapa Pengaruh UMNO Bt. Bendera ?

Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bukit Bendera nampaknya terlalu terhibur dengan politik sakit hatinya. Berbekalkan beratus-ratus penyokong totoknya, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja tidak disenangi kaum Cina, malahan kaum beliau sendiri.

Jika beliau seorang yang bukan Islam, bolehlah dikatakan beliau sedang dalam keadaan mabuk ketika mengeluarkan kenyataan tersebut. Namun apakah beliau benar-benar sedang mabuk? Ya. Mabuk dengan sokongan yang beliau rasakan memihak kepadanya.

Beliau mungkin mempunyai masalah dengan Parti Gerakan Pulau Pinang secara tradisinya. Itu tiada siapa boleh sahkan kecuali beliau sendiri. Tetapi amat tidak wajar baginya untuk mengeluarkan kenyataan yang bersifat sedemikian semata-mata ingin menjadi jaguh.

TETAPI, APAKAH BELIAU MERUPAKAN ULAT KAYU YANG DITUGASKAN UNTUK MEMUSNAHKAN UMNO DARI DALAM? Hal ini tidak boleh dipandang ringan. Sebagai pemimpin UMNO disebuah negeri yang dikira sebagai kuburan UMNO sejak Mac 2008, berbagai anasir yang tidak kelihatan mampu berlaku.

Apa kata sekiranya beliau dibayar oleh pihak tertentu untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian bagi menyemarakkan lagi lalang agar menutupi nisan perkuburan UMNO di Pulau Pinang?

Sesungguhnya manusia itu sukar untuk ditafsirkan objektif dan modus operandinya tanpa kita melihat perwatakan dan perlakuannya secara meluas. Jika UMNO sedar, ketahuilah bahawa Datuk Ahmad Ismail tidak diperlukan dalam UMNO.