Sunday, August 30, 2009

Pelan pembangunan terancang di Tambun

Mingguan Malaysia, Ahad, 30 Ogos 2009

Pelan pembangunan terancang di Tambun

IPOH 29 Ogos - Kawasan Tambun yang sedang pesat membangun dengan kewujudan Bandar Sunway Ipoh, bakal mempunyai pelan pembangunan mulai tahun depan.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pembangunan tidak boleh dibuat secara ad-hoc tetapi memerlukan satu pelan pembangunan yang teratur supaya ia memberi manfaat kepada rakyat.

''Kita mesti ada pelan induk di mana kita mahu pembangunan dijalankan. Kita mesti tahu di mana kedudukan sekolah, jalan dan bandar supaya memberi manfaat kepada rakyat selain pembangunan di sektor pertanian.

''Kita sedang merangka pelan pembangunan ini dan berharap ia dapat siap menjelang hujung tahun ini untuk diserahkan kepada Kerajaan Pusat," katanya merangkap Menteri Kewangan Kedua kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan jalan susur Lebuh Raya Utara Selatan ke Tambun di sini hari ini.

Pembukaan jalan tersebut dijangka dapat menarik kedatangan lebih 10 juta pelancong ke Sunway City Ipoh setiap tahun sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Tambun.

Syarikat Sunway City (Ipoh) Sdn. Bhd. turut menyumbangkan RM1.5 juta bagi kos pembinaan laluan tersebut yang menelan belanja RM15 juta.

Ahmad Husni berkata, pembangunan bidang pertanian terutamanya tanaman limau tambun turut dimuatkan dalam pelan pembangunan Tambun.

''Walaupun Ipoh sebuah bandar raya, kita mempunyai petani di Tambun dan kita mahu menukarkannya kepada pertanian moden pada masa akan datang," katanya.

Menurut beliau, Tambun menerima peruntukan sebanyak RM360 juta bagi membina infrastruktur daripada Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).