Tuesday, October 28, 2008

Pemilihan Tahunan Disokong!

Bernama.com, 27 Oktober, 2008 16:58 PM

Pemilihan Umno Setiap Tiga Tahun Sekali Perlu Dipinda Bagi Kawal Politik Wang, Kata Tajol Rosli

IPOH, 27 Okt (Bernama) -- Pemilihan Umno semua peringkat yang ketika ini dilakukan setiap tiga tahun sekali perlu dpinda bagi mengawal politik wang daripada berleluasa, kata Pengerusi Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Beliau berkata untuk itu, kaedah pemilihan seperti yang pernah diamalkan dahulu di mana pemilihan peringkat cawangan diadakan pada setiap tahun, pemilihan peringkat bahagian diadakan dua tahun sekali manakala peringkat Majlis Tertinggi (MT) setiap tiga tahun sekali, wajar dilaksanakan semula.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata melalui kaedah pemilihan sedemikian, calon-calon yang berhasrat bertanding dalam pemilihan parti perlu bergantung kepada keupayaannya untuk berinteraksi dengan anggota parti di peringkat akar umbi serta aktiviti yang dilaksanakan di peringkat tersebut.

"Sama ada kita menghadapi pilihan raya atau tidak, pemilihan di cawangan, bahagian dan MT mesti diteruskan. Kalau ini berlaku saya rasa dia akan mengurangkan tohmahan, bukan semua yang bertanding itu menggunakan wang... hanya segelintir sahaja," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Deepavali Pengerusi MIC Perak Datuk G. Rajoo di sini, Isnin.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum ini turut mengemukakan cadangan serupa bagi membolehkan anggota parti di peringkat akar umbi bergerak lebih aktif berbanding sekarang yang disifatnya sebagai lesu.

Sementara itu, Tajol Rosli menolak desas-desus terkini yang mengaitkan peningkatan jumlah pencalonan daripada Perak yang diterima Mohd Ali untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Mac ini disebabkan Umno Perak agak kecewa apabila Bahagian Pagoh tidak memberikan pencalonan kepada wakil Perak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi bertanding naib presiden.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa pencalonan yang telah dibuat merupakan pencalonan suara akar umbi kerana anggota-anggota Umno mengamalkan demokrasi sepenuhnya pada proses pencalonan untuk pemilihan parti kali ini.

Bahagian Pagoh yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat perwakilannya telah mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Datuk Mohd Shafie Apdal bagi jawatan naib presiden.

Mohd Ali yang hanya menerima satu pencalonan pada minggu pertama persidangan iaitu daripada Parit Buntar, menerima empat pencalonan lagi daripada Bukit Gantang, Ipoh Barat, Batu Gajah dan Tapah pada minggu kedua persidangan manakala persidangan minggu ketiga semalam menyaksikan Ali meraih tiga pencalonan daripada Kuala Kangsar, Parit dan Gopeng.

-- BERNAMA

Ulasan

Saya amat bersetuju dengan cadangan ini kerana dengan cara ini, mandat bagi ketua-ketua UMNO peringkat bawahan dapat diperbaharui setiap tahun dan kegagalan para ketua ini memimpin akan membolehkan peralihan kuasa peringkat cawangan berlaku tanpa menunggu satu jangkamasa yang lama. Akibat jangkamasa yang lama ini, ada para ketua cawangan yang hanya 'bekerja' apabila tibanya tahun yang mana ada pemilihan akan berlangsung.

Cadangan ini, sekiranya dilaksana, secara tidak langsung, akan membuatkan ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua pemuda cawangan dipaksa untuk bekerja kepada penduduk di kawasan mereka dengan berkesan sepanjang masa dan dengan ini, UMNO akan lebih hampir kepada masyarakat.

Amat malang apabila UMNO hari ini dijawatankuasai oleh mereka-mereka yang syok sendiri. Yang semata-mata berkhidmat demi parti dan ahli dan bukannya demi masyarakat. Pintu bagaikan tertutup, majlis tari-menari pun bermula.

Lebih malang lagi apabila pucuk pimpinan cawangan, malah bahagian, dipilih dari golongan yang hanya pandai bercakap di dalam persidangan parti tetapi lari apabila terserempak dengan situasi yang memaksa mereka berhujah dengan parti lawan.

Bertambah malang pula apabila kebanyakan mereka memenangi jawatan berdasarkan pengaruh kepuakan yang seakan-akan kongsi gelap dan ini mengakibatkan pergerakan wang berlaku dengan banyak sekali.

Tiada yang lebih malang, ada juga Ketua Bahagian atau Ketua Pemuda Bahagian yang dipilih TIDAK MEMPUNYAI ILMU POLITIK yang mencukupi malah ada Ketua Pemuda Bahagian yang menang tidak langsung tahu untuk berbicara soal art of politic dan merebut jawatan tersebut mungkin kerana menganggap ianya sebagai singgahsana yang boleh dibanggakan.