Ahad, April 13, 2008

88 Jalan Sultan Idris Shah ?

Pernahkah anda ke Ipoh? Selepas Kuala Lumpur disytihar sebagai bandaraya pada tahun 1974, Ipoh menjadi bandaraya kedua diiktiraf sebagai sebuah Dewan Bandaraya pada tahun 1988 tetapi diturunkan kuasa Datuk Bandar kepada kuasa Ahli-Ahli Majlis Bandaraya. Maka tertubuhlah Majlis Bandaraya Ipoh.


Selepas itu, nadi pembangunan Ipoh bergerak cukup perlahan. Namun, hakikat tersebut berjaya memberikan suasana retro apabila kita melihat pusat bandarayanya. Tetapi, pengangkutan seharusnya mengikut zaman. Malangnya Ipoh menyediakan perkhidmatan bas yang bukan sahaja cukup ketinggalan zaman bahkan memalukan.

Dikatakan, Ipoh Omnibus Co. yang beroperasi ke hampir semua penempatan di Ipoh merupakan anak syarikat sebuah perbadanan misteri yang mendiami alamat 88, Jalan Sultan Idris Shah. Jika berkunjung ke alamat tersebut, nescaya tiada apa yang menggambarkan adanya sebuah syarikat dipremis tersebut.


Syarikat misteri ini sebenarnya memegang lebih banyak lagi perkhidmatan bas-bas usang di negeri Perak dan beroperasi di hampir semua bandar utama di Perak. Hampir semua syarikat bas yang beroperasi di Ipoh, memakai alamat tersebut. Bas-bas buruk penghujung 1970an terus membelah jalan-jalan di Ipoh.

General, Reliance, Kinta, Ipoh Omnibus, Century Omnibus yang beroperasi di Ipoh serta Red & Yellow di Kuala Kangsar, Kamta di Tapah, Regal di Cameron Highlands, Sitiawan di Manjung dan Blue Omnibus di Taiping turut beralamat di 88 Jalan Sultan Idris Shah.

Walaupun terdapat pertambahan bas yang lebih moden dan berhawa dingin, perkembangan tersebut terlalu perlahan jika dilihat kepada keadaan di mana hampir kurang dari lima buah bas baru kelihatan beroperasi dalam satu-satu tahun di seluruh Ipoh. Gambaran kemajuan tiada untuk dibandingkan dengan Pulau Pinang dan Lembah Klang. Ipoh tertinggal di tahun 1980an.


Perkhidmatan dalam pusat bandar dilakukan oleh bas-bas yang cukup tua untuk mengharmonikan suasana jalanraya di Ipoh. Kenderaan persendirian pantas memodenkan suasana jalanraya di Ipoh dengan rata-rata berusia kurang dari 10 tahun. Akibatnya, perkhidmatan bas tidak menguntungkan syarikat bila sambutan tidak memberangsangkan dan modenisasi perkhidmatan bas di Ipoh tidak mungkin berkembang pada angka positif.

Perkhidmatan pengangkutan awam di negeri Perak khususnya bas amat daif. Syarikat tersebut seharusnya diambil alih oleh kerajaan negeri dan ditadbir sebagai sebuah entiti korporat. Bas-bas tersebut layak di jual ke negara yang lebih memerlukan.

Hanya dibawah tanggungan kerajaan negeri, pengangkutan bas di Perak khususnya Ipoh dapat dimodenkan. Hakikat ini jarang di titikberatkan oleh kerajaan negeri yang lepas dalam memodenkan negeri kerana faktor kesukaran untuk memperoleh keuntungan.

Jika pentadbiran negeri terlalu berkira terhadap kehendak memajukan perkhidmatan mobiliti bagi rakyat, kerajaan negeri tersebut tidak layak untuk di gelar kerajaan untuk rakyat.

Namun misteri belum lagi tersingkap. Siapakah yang bersembunyi di sebalik pintu alamat 88 Jalan Sultan Idris Shah? Kerajaan negeri pasti mengetahuinya.