Khamis, Jun 26, 2008

Modal Insan Bakal Tandus

Masalah negara skang ni. Sara hidup meningkat. Dulu, sorang ketua keluarga yang menyara 7 orang anak beristerikan sorang suri rumah pun boleh hidup dengan RM800 sebulan. Memang la itu tahun 1970an. Kalau tahun 1960an mungkin angka tersebut rendah sikit kepada RM600. Tapi hari ni, RM4000 pun belum tentu cukup untuk sepasang suami isteri yang ada 5 orang anak.

Akibatnya, semakin menurunlah pertambahan penduduk Malaysia yang sebelum ini berada pada tahap 2.7% setahun. Mungkin unjuran tahun depan menunjukkan angka 1.5% dan sebelum tahun 2020, pertambahan penduduk menjadi kurang dari 1%. Untuk mencapai 40 juta penduduk mungkin memakan masa 100 tahun.

Kesan dari ini, semakin ramailah bujang-bujang terlajak. Purata umur berkahwin akan masuk ke angka tigapuluhan dan gejala sosial seperti ikatan seks luar nikah akan menjadi-jadi. Kesemua ini adalah kesan yang dilihat amat terancang oleh pihak Barat dalam menjatuhkan keindahan Islam dalam membina masyarakat yang sempurna akhlaknya.

Segala-galanya berpunca dari minyak. Minyak mengawal segalanya. Apabila minyak telah jatuh ke tangan Barat, maka Barat mengawal manusia keseluruhannya. Ironiknya, emas hitam ini dicipta untuk berada di negara-negara orang Islam dengan banyaknya. Tetapi, apa yang telah terjadi hari ini, jelas menampakkan bahawa sesungguhnya, Dajal telah terlalu menghampiri kita.

Kehidupan orang kampung lebih baik dari orang bandar. Dengan kenaikan harga getah asli, harga komoditi sawit dan hasil pertanian, orang-orang kampung mampu untuk menyerap kenaikan mendadak inflasi dunia.

Terjerit-jeritlah orang-orang bandar di tempat-tempat berdemonstrasi dengan alasan ' apa nasib orang kampung? bagaimana mereka mahu hidup dengan inflasi mendadak ' walhal merekalah orang-orang bandar ini yang tersepit dengan tersepit-sepitnya. Tetapi malu untuk mengaku. Ego meninggi. Dan mempergunakan orang-orang kampung sebagai alasan.

Jika benar orang-orang kampung yang tersepit, mengapa tiada demonstrasi petani yang membanjiri ibukota seperti yang berlaku di negara tetangga?

Sesungguhnya hari ini, kadar penduduk bandar di Malaysia telah meningkat kepada 60%. Ini bermakna hanya 40% dari penduduk Malaysia tinggal di luar bandar mengusahakan tanah-tanah pertanian di tanah-tanah rancangan mahupun kebun-kebun sendiri. Mereka sedikit sebanyak menerima kesan keuntungan hasil kenaikan harga hasil mahsul pertanian.

Manakala orang bandar terus tersepit, tidak mampu untuk hidup sendirian apatah lagi menanggung anak bini, lalu terpaksa membuat kerja-kerja lebih masa yang ternyata meletihkan dan membuatkan rutin kehidupan menjadi kucar-kacir.

Para-para majikan yang selesa dengan pendapatan yang besar tidak mahu bertanggungjawab untuk memastikan anak buah mereka dapat bekerja dengan selesa lalu memeras dengan penuh kejam akan produktiviti, kualiti serta keupayaan anak buah mereka sehinggakan mereka tersepit untuk kesekian kalinya. Maka pemberontakan menjadi-jadi, budi bicara menjadi hilang dan budi bahasa menjadi pudar dan rosak.

Inilah Malaysia yang bakal kita diami sedikit masa lagi. Sikap pentingkan diri sendiri demi survival akan membunuh budaya sopan dan kes-kes jenayah mencuri dan menyamun akan membunuh budaya ehsan. Pelapis-pelapis yang akan memimpin masa depan akan tertapis oleh pahit getir kehidupan dan akhirnya negara tidak mungkin lagi memiliki modal insan yang dibangga-banggakan beberapa tahun lalu.