Selasa, Julai 22, 2008

PAS & Selatan Thailand

Krisis di Selatan Thailand antara orang Melayu dan pemerintah Siam telah berlanjutan sejak sekian lama. Namun kurang usaha yang signifikan oleh Malaysia untuk menyelesaikan masalah ini.


Selepas Pilihanraya Umum ke 12 Malaysia pada Mac 2008, Perak dan Kedah jatuh ke tangan pembangkang dan MB dari Parti Islam Semalaysia (PAS) telah dilantik. Namun, akibat sibuk menguruskan harta negeri sendiri, persaudaraan sesama Islam diletakkan ke tepi. Musyawarah sesama Islam senegara pun mereka rumitkan. Apatah lagi untuk melihat nasib saudara mereka di luar sempadan.

Secara kebetulan, wilayah Pattani (Patani), Narathiwat (Menara) dan Yala (Jala) yang terletak di Selatan Thailand dan bersempadan dengan tiga negeri MB PAS di Malaysia ini mempunyai krisis dalam mempertahankan identiti Melayu dan agam Islam yang dihakis oleh pemerintah Thai.

Namun, tiada apa yang boleh diharapkan dari orang-orang yang memperjuangkan Islam di sempadan sebelah sini dalam membantu mewujudkan kestabilan di tiga wilayah konflik tersebut.

Di sini, kerjasama MB Kedah, MB Perak dan MB Kelantan dituntut untuk bersama memainkan peranan dalam menstabilkan tiga wilayah bergolak ini. Jika mereka hanya menyebut tentang perjuangan Islam demi kuasa politik yang hanya mampu diberi oleh warganegara Malaysia, mereka tidak layak untuk disebut sebagai mereka yang memperjuangkan Islam selain dari para politikus tamak semata-mata.

Dibimbangi juga, gerila pemisah di Selatan Thai masuk untuk mencari lapangan selamat di negeri-negeri ini sekiranya ketiga-tiga MB PAS ini tidak menyuarakan dasar-dasar serta pelan-pelan mereka dalam membantu menyelesaikan keganasan di Selatan Thailand.

Seharusnya gabungan menteri-menteri besar PAS yang bertiga ini, yang mempunyai taraf Gabenor, berusaha untuk mewujudkan dialog, merangka pelan-pelan persefahaman dan mempunyai rasa tanggungjawab atas persaudaraan sesama Islam untuk mewujudkan kestabilan di rantau sempadan ini.

Tetapi, jelas seperti yang dibayangkan, para politikus ini tidak berminat dengan isu-isu Islam di tempat lain selain di kawasan yang mereka boleh menjual drama rektorik mereka.