Rabu, Ogos 13, 2008

Tenggelamkan Kapal Melayu!

Selama mana kita berkehendakkan minyak dan air yang bercampur. Apakah sah wuduk yang menggunakan air yang bercampur dengan satu bahan asing yang tak mungkin larut bersama air tersebut? Jadi ramai Melayu menyebut tentang kemurnian. Termasuk majoriti besar yang bukan fanatik mana-mana parti politik sebelum ini. Namun, pemimpin Islam PAS memekakkan telinga. Adakah itu Islamik?

Berlaku percanggahan di dalam kata hati antara pemimpin dan lidah pemekik jalanan PAS yang berjuang di kedai-kedai kopi. Nik Aziz menyebut "tiada istilah kronisme dalam Islam". Berdosalah pak-pak haji yang mengeji semahu hati akan kronisma yang terlihat dalam puak-puak UMNO. Kerana apa mereka berdosa? Kerana tidak mungkin Nik Aziz yang dikira berdosa kerana menipu.

Menjerit pula Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menentang konsert Avril, artis dari Canada yang akan membuat persembahan di Kuala Lumpur kelak. Menjerit-jerit pula pemuda pemudi bukan Islam dari kem mereka memaki hamun tindakan PAS Wilayah. Katanya, PAS menguasakan Islam ke atas mereka. Begitukah? Tebal sungguh islamofobia di kem Pakatan Rakyat! Mengapa besar sungguh percanggahan yang timbul?

Seorang peguam syarie, memenangi tiket PKR untuk sebuah kerusi Parlimen, terbabit menyerang pejabat Majlis Peguam bersama beribu-ribu umat Islam yang berang dengan forum tentang "Memeluk Islam" yang dianjurkan oleh Majlis tersebut. Walhal peguam syarie tersebut pada masa yang sama menyokong dasar-dasar perjuangan pihak liberalis yang menuntut demokrasi tulen dalam politik beliau menentang pemerintah yang diterajui oleh orang Islam. Setempang manakah kita mahu suasana kekok ini berterusan?

Keadaan menjadi caca-marba. Orang Melayu sedang menari-nari pada rentak yang salah. Penonton akan ketawa dan lantai pentas mungkin akan runtuh. Puncanya mudah. Anwar Ibrahim dan pemimpin PAS. Kedua-duanya Melayu. Mahu disalahkan UMNO, UMNO sudah terhegeh-hegeh mahu bersatu. Tetapi puak Islam Pakatan menolak penyatuan.

Rata-rata orang Melayu terpesona dengan hak saksama. Berbahagia dengan hutang-hutangnya. Menyebut kesamarataan hingga lupa batasan yang terbina bagi mengelakkan ombak kuat memasuki kapal yang mampu membuatkan kapal Melayu tenggelam.

Membenarkan firman Allah yang bermaksud, kerosakan ke atas sesebuah bangsa itu datangnya dari tangan mereka sendiri, suasana hari ini menjadi nyata sedikit demi sedikit. Malaysia telah berubah. Anda masih berdalih? Kalau demikian, janganlah bersatu. Biar Melayu roboh dan runtuh kerana janjiNya pasti terlaksana. Islam adalah agamaNya yang suci. Golongan yang tidak mementingkan persaudaraan seislam pasti akan dibinasakan.