Jumaat, Disember 05, 2008

Enggan Diperbetulkan?

Kita tahu Rashid Maidin, Shamsiah Faked dan Abdullah CD bukannya komunis lahanat. Tetapi mereka dicap sebagai anggota gerila tersebut lalu mengangkat senjata menubuhkan unit Melayu dalam PKM.

PKM berjaya dikekang dari mendapat tempat dalam politik tanah air. Pemimpin haluan kiri Melayu ini diberikan senjata oleh PKM pimpinan Ching Peng untuk berjuang di bawah panji-panji komunis. Keterpaksaan membuatkan mereka lari ke dalam hutan dan memakai topi Bintang Tiga walaupun hati mereka teguh berkata, bukan ini yang mereka perjuangkan.

Tetapi, hari ini, para pengikut haluan kiri menubuh kesatuan. Kesatuan yang tidak pernah wujud hatta sehingga sehari selepas setiap rakyat yang layak memilih, berhimpun membuat undian. Rakyat ditipu melalui pintu belakang. Pejuang Islam dan pejuang kandang khinzir bersatu menentang parti nasionalis Melayu Islam. Rakyat terpinga-pinga.

Kesepakatan mereka bukanlah satu paksaan seperti yang berlaku pada unit Melayu PKM. Mereka bersepakat atas dasar yang satu. Menumbangkan pemerintah yang telah 53 tahun memimpin.

Pemimpin berhaluan kiri yang enggan bekerjasama dengan komunis menyelamatkan diri ke Indonesia. Di sana, sebuah negara yang mutlak di bina oleh rakyat telahpun merdeka. Mereka mati di dalam negara tersebut dan menjadi pejuang nasional dalam buku-buku sejarah Indonesia sehingga rakyat berpelajaran di sana mencemuh Malaysia sebagai negara boneka.

Kesepakatan Melayu dan Cina dalam PKM yang dihalau ke sempadan atas, berkiblatkan Kuomintang. Perjuang asimilasi yang terbuang keluar sempadan bawah, bertekadkan sebuah negara Nusantara Raya.

Yang tertinggal membikin negara adalah umat yang tidak tahu apa, yang dipimpin oleh seorang anak raja yang tahu segalanya. Rakyat disogok sebuah cita-cita membina sebuah negara merdeka dengan tergesa-gesa. Lalu mereka membuat keputusan yang akhirnya membawa musibah kepada generasi muda di hari muka. Pembetulan sukar dirangka, kemusnahan mudah untuk kunjung tiba.

Hari ini, apabila sebuah pembetulan diilhamkan, tentangan diterima sungguh besar. Peluru dilepas bertalu-talu walaupun acapkali tersasar. Bangsa Malaysia terbahagi tiga. Bila dua bersatu menjadikannya dua. Sebilangan yang satu menyertai yang dua melacurkan diri dalam memungut kuasa. Akhirnya, sebuah pembetulan dinyah-upaya. Bangsa asal tiada berdaya. Hanya sebuah penyatuan yang merubah segalanya.