Selasa, Disember 09, 2008

Artikel Di Utusan Malaysia 9 Disember 2008

Hari ini, dua ahli Blogger Pembela Negara menulis serentak di akhbar Utusan Malaysia, Selasa 9 Disember 2008. Saya dan Dr. Novandri. Dr. Novandri menulis mengenai hubungan kaum di ruangan rencana dan saya menulis di ruangan Forum mengenai tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Berikut adalah pandangan saya :

Mampukah kita berubah? - Surat 3

SETIAP kali berlaku runtuhan tanah yang memakan korban nyawa dan harta benda, akan riuh segenap lapisan masyarakat membuat spekulasi berhubung punca, akibat dan langkah-langkah seterusnya yang akan diambil. Hakikatnya semua orang tahu, perlaksanaan garis panduan pembangunan di cerun bukit tidak pernah mencapai objektifnya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa baru-baru ini merupakan kejadian yang agak berlainan. Ini kerana, pada kejadian biasa, tanah cerun yang menggelungsur menimbun di lapisan tanah keras yang mendatar dan menimpa serta memusnahkan kediaman di lapisan atas.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, tebing yang kegagalan menggelungsur dan terperosok ke bawah lapisan atas permukaan tanah. Rumah telah beralih, terjungkit dan pemampatan lapisan atas memusnahkan rumah-rumah kediaman di atasnya. Api terpercik akibat pergeselan tetulang konkrit struktur rumah, dinding rebak dan pecah serta pokok-pokok tumbang satu demi satu apabila rumah-rumah tersebut mula bergerak. Rumput di halaman naik separas bumbung. Mujur apabila berlaku keadaan seperti ini, ramai yang mampu menyelamatkan diri.

Ini mungkin disebabkan tanah di bawah kawasan kediaman tersebut adalah lembut dan tepu kerana menjadi laluan air ataupun tanah tersebut telahpun menakung air sehingga membolehkan runtuhan rebak hingga terbenam ke bawah lapisan permukaan tempat kediaman dibina.

Lapisan batuan mungkin tidak selari dengan paras tanah permukaan akibat kerja-kerja meratakan tanah semasa penempatan hendak dibina.

Keadaan ini membolehkan aliran air bawah tanah untuk melalui bawah penempatan Taman Bukit Mewah menuju ke kawasan yang lebih rendah dimana terletaknya alur semulajadi yang telah tiada. Akibatnya, pergerakan bumi berlaku apabila tiba masa matangnya.

Puncanya jelas disebabkan oleh aliran air bawah tanah yang turun dengan tidak melalui alur semulajadi yang telah diubah dan digantikan dengan longkang-longkang monsun yang bukan berada pada kedudukan asal alur semulajadi tersebut. Akibatnya satu aliran bawah tanah terbentuk mengikut laluan asalnya mengikut pembentukan asal lembah tersebut yang dibina di dasarnya oleh lapisan batuan yang keras.

Lapisan permukaan tanah memang boleh dibentuk oleh jentera dengan proses korek atau tambak. Tetapi lapisan permukaan batuan keras yang menjadi asas kepada lapisan atas ini tetap berada dalam keadaan asalnya.

Apabila tanah dalam keadaan tepu, ia mampu bergerak mengikut tarikan graviti apabila ia melepaskan tenaga pergerakan yang terpendam. Ia boleh berpunca daripada aliran air hujan atau kebocoran paip air, longkang dan sistem pembentungan dalam jangkamasa yang agak panjang.

Dengan kata lain, kejadian yang menimpa 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah sebenarnya menunjukkan ia merupakan satu fenomena buatan yang menunggu masa untuk berlaku pada bila-bila masa di bahagian lain dalam kawasan tersebut.

Tetapi untuk mengatakan pembangunan menjadi punca tanah runtuh mungkin belum cukup tepat kerana terdapat juga tanah runtuh besar-besaran yang berlaku di kawasan bukit-bukau hutan dara yang jarang mendapat perhatian kerana tidak membabitkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Apa yang perlu disebut ialah proses pembentukan muka bumi tidak pernah berhenti dan tanah runtuh sebegini merupakan sebahagian daripada prosesnya sejak jutaan tahun lampau. Cuma kita seharusnya bijak memilih tempat manakah yang sesuai untuk didiami.


-TAMAT-