Jumaat, Mei 22, 2009

Perak:Berhenti Bersorak, Mula Bekerja !

Hajat di hati hendak ke Istana Keadilan, Presint 3 tetapi mengenangkan sudah tentu ramai orang dan keadaan sepanjang hari di Putrajaya yang panas terik, penulis pantas pulang bagi mengelakkan kesesakan di MRR2.

Ketika pulang, berita radio mengumumkan keputusan hakim sebulat suara bersetuju bahawa Zambry adalah MB Perak yang sah berikutan permohonan Nizar untuk membubarkan DUN dibuat ketika dia telah tidak dipercayai lagi dan prerogatif Sultan Perak adalah mutlak.

Namun keputusan itu akan dikusutkan lagi oleh 'penjarah negeri' melalui rayuan yang akan difailkan dan seperti yang kita sedia maklum, Pilihanraya Negeri merupakan jalan terbaik. Tetapi, bagi Sultan Perak, itu bukan jalan terbaik.

Nah, sekarang, apa yang perlu difikirkan bukanlah sorak-sorai Pak Kaduk ala Pakatan Rakyat yang perlu digemakan oleh penyokong Barisan Nasional. Apa yang difikirkan ialah bagaimanakah cara untuk memenangi hati rakyat Perak keseluruhannya dalam pemerintahan Barisan Nasional versi keruntuhan pakatan yang rapuh.

Apa nasib negeri Perak yang jatuh dari tangga keenam ke tangga kesepuluh dalam pelaburan ke negeri ini? Apa perubahan fizikal yang dibuat di negeri Perak sekurang-kurangnya seperti Sabah mendapat angin baru dibawah Musa Aman.

Hakikatnya, kestabilan sesebuah negeri dan kemakmuran ke atasnya sudah tentulah hasil dari kesinambungan sesebuah pimpinan yang bukan sekadar dua tiga tahun. Apatah lagi 11 bulan yang penuh exco tamak hina-menghina bolot-membolot. Itulah yang dipanggil 'penjarah negeri'.

Nik Aziz memerintah Kelantan untuk tahun ke 19 dan rumahnya walaupun hadapannya nampak seperti kebanyakan kita tetapi belakangnya makin membesar. Itu bukan isu? Jadi tidak hairanlah Taib Mahmud menjadi kaya raya selepas berpuluh-puluh tahun memerintah Sarawak. Adakah rakyat Sarawak yang terlepas pandang? Soal yang lari dari pandangan tu, lain cerita.

Apa yang hendak ditekankan ialah, Zambry perlu mengembalikan keyakinan rakyat Perak untuk menyokong BN atas karismanya. Bukan lagi sebab apa yang berlaku pada kerajaan pusat. Seperti berlakunya insiden PRU12.

Tetapi bagaimanakah Zambry hendak melakukannya. Hah. Pandai-pandai lah miker. Miker belajor tinggi.