Sabtu, Jun 06, 2009

Hadi Awang Perkenal Vaksin Selsema Dengki

Tahniah kepada Haji Hadi Awang kerana tetap teguh dengan pendirian beraninya untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang dicita-citakan oleh semua manusia beragama Islam yang terpelihara dari sikap busuk hati dan sifat batu api permusuhan.

Yang kekal menjadi perkara yang menghairankan ialah, betapa sunyinya maklumbalas menentang yang datang dari bukan Melayu di dalam Pakatan Rakyat berhubung idea ini walaupun pada mulanya, Maharaja China cawangan Pulau Pinang, Lim Guan Eng ada menunjukkan rasa tidak puas hati berhubung cadangan Hadi Awang.

Tetapi, yang galak memukul rebana permusuhan sudah tentulah dikalangan ahli PAS sendiri. Ini kerana apabila cadangan Kerajaan perpaduan diilhamkan, mereka yang kebanyakannya telah disuntik racun yang menyemarakkan rasa benci dan gemar bermusuh-musuhan terpaksa berada dalam mod 'sawan' apabila terdengar perkataan 'Kerajaan Perpaduan'.

Amat besar harapan bagi umat Islam negara ini amnya, umat Melayu khususnya untuk melihat perbezaan politik menjadi isu kulit sahaja dan penyatuan sebenar umat Islam di negara ini menjadi isinya.

Walaupun politik itu sekadar kulit, namun kulitlah yang melindungi isi daripada tercemar oleh perjalanan dunia politik universal.

Diharapkan agar pucuk pimpinan PAS yang diberi mandat baru ini dapat menyuntik vaksin pencegah penyakit Selsema Dengki yang telah lama berakar umbi dalam ahli-ahli PAS yang penyembuhannya membawa manfaat besar kepada umat Melayu Islam sendiri.