Khamis, Jun 11, 2009

Serangan Ke Atas Masjid & Serangan Ke Atas Perpaduan Islam

Sedih, marah dan benci mengenangkan perbuatan manusia berhati binatang yang menyerang sebuah masjid di Kg. Air Tempayan, Narathiwat, Thailand hingga mengakibatkan 12 jemaah yang sedang solat Isyak, terbunuh.

Kejadian ini mengingatkan perbuatan gerila Tamil Eelam yang membunuh 147 jemaah masjid di Batticaloa, Sri Lanka, pada tahun 1990. Kali ini ia berlaku lebih hampir dengan kita. Paling pilu, melibatkan mereka yang sebangsa, sebudaya dan sebahasa dengan kita.

Seganas mana pun pejuang yang menggunakan nama Islam, mereka tidak akan tegar untuk membunuh orang yang sedang bersembahyang di masjid. Tiada serangan ke atas masjid di Aceh. Tiada sedemikian di Mindanao. Ini adalah perbuatan sulit mereka yang bukan beragama Islam.

Malangnya, tidak sampai 80km dari selatan tempat kejadian, di dalam wilayah Malaysia, seorang pemimpin yang kononnya memperjuangkan Islam, menghentam seruan untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini. Nik Aziz Nik Mat mungkin telah sampai masanya untuk disebut pikun dan kebudak-budakan.

Sedih, marah dan benci mengenangkan ketika usaha mengukuhkan perpaduan Melayu Islam negara ini, muncul seorang 'tok guru' yang menentang. Tok guru apakah ini? Iktibar dari kejadian di luar sempadan negara langsung tidak diambil.

'Tok guru' itu telah lupa bahawa pecah-belah etniknya sendirilah yang mengakibatkan Pattani jatuh ke tangan Thailand apabila etniknya yang gila kuasa memihak kepada kerajaan Buddha Thai beratus tahun dahulu dan membuatkan pemimpin Islam di sana tertangkap, terbunuh dan seterusnya seluruh wilayah mereka tergadai kecuali Kelantan yang ditebus British.

Apakah manfaat besar yang bakal diperoleh oleh puak Nik Aziz apabila bersekongkol dengan kafir? Nampaknya Nik Aziz bukanlah pakar sejarah peradaban dunia keseluruhan yang mampu menterjemah dolak dalik tipu daya penentang Islam.

Nik Aziz tidak relevan lagi. Nik Aziz terlalu mengikut buntut para penasihat. Lihatlah Pak Lah yang hanya 6 tahun menjadi 'pengikut buntut penasihat' dan akhirnya terpaksa berundur. Apa pula dengan Nik Aziz yang telah 19 tahun bersuara dengan kapasiti boneka?

Amat malang bagi seluruh umat dunia Islam apabila muncul kejutan demi kejutan dari rakyat Cik Siti Wan Kembang. Kejutan pertama, pembunuhan kejam jemaah masjid di Menara. Kejutan kedua, tok guru mereka yang mencintai pepecahan umat Islam belum berhenti berkata-kata di Kota Bharu.