Isnin, Ogos 10, 2009

Kerajaan Diminta Selesaikan Isu Buluh Mas

Kerajaan diminta menyelesaikan dengan bijaksana masalah "golongan mahu kaya cepat" yang telah melabur dalam Buluh Mas. Penulis tidak terjebak langsung dengan permainan "kurang cerdik" ini kerana tiada wang yang datang dengan sekali labur dan hasil diraih seumur hidup kecuali amal ibadat. 99% pelabur dalam Buluh Mas adalah orang Melayu, tidak seperti lain-lain pelaburan sebelum ini yang disertai masyarakat berbagai lapisan kaum.

Melalui tinjauan, antara sebab utama kekalahan BN dengan teruk di bandar-bandar utama dikesan adalah akibat protes terhadap perkara berikut :

1. Tidak ada bonus untuk kakitangan awam bagi tahun 2007 (alasan bodoh tetapi itulah hakikat)

2. Sekatan ke atas laman web urusniaga berkaitan forex pada tahun 2007 yang mengakibatkan ramai yang menanggung rugi.

Implikasi kewangan ke atas rakyat sebenarnya mengatasi isu-isu politik sempit perkauman yang dijaja. Umum (kecuali fanatik PR yang syok sendiri) mengetahui bahawa PRU12 menjadi medan protes ke atas kerajaan BN terdahulu atas berbagai sebab dan pada setiap protes, sudah tentu perubahan dituntut. Apabila perubahan dibuat, sudah tentu sang pemprotes sedia memberi kembali sokongan yang 'dikuarantin'.

Pakatan Rakyat mengetahui isu ini tetapi kewibawaan mereka dalam memperjuangkan hak rakyat bolehlah dianggap langsung tiada. Ini kerana apa yang penting bagi mereka ialah bagaimana untuk hidup bahagia dengan kemenangan tiba-tiba yang diperoleh.

Berbalik soal Buluh Mas, pengambilan deposit secara haram tanpa kelulusan Bank Negara sememangnya "menempah maut". Tetapi orang Melayu sendiri yang mudah terpengaruh tanpa kajian lanjut melainkan penerangan-penerangan agen pelabur yang sudah tentu tidak jujur, membuatkan leher mereka terjerut.

Kemudian hebohlah cerita bahawa kononnya sejumlah RM400juta wang pelabur dalam Buluh Mas dibekukan oleh Bank Negara kerana melanggar Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang melarang individu menerima dan mengambil deposit tanpa lesen dan berceritalah mereka bahawa ianya taktik kerajaan untuk merampas wang tersebut dijadikan Rizab Bank Negara setelah wang tersebut 'matang' seperti apa yang berlaku sudah-sudah.

Matang bermaksud, ketika pengusaha Buluh Mas yang berpusat di Tanjong Karang ini giat mengumpul deposit dari "pelabur tak fikir panjang" ini, kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan sedangkan pihak Bank Negara mengetahui status skim tersebut. Cuma setelah jumlahnya beratus juta, barulah ianya disekat.

Tidak dinafikan, terlalu ramai orang Melayu yang mengidamkan kekayaan dengan usaha tak seberapa. Tetapi ada pihak yang mula menyalahkan kerajaan dalam isu ini dan menuduh Bank Negara menambah rizab mereka dengan cara yang zalim.

Hari ini, kebanyakan pelabur dalam Buluh Mas disogokkan dengan dodoian bahawa pihak Buluh Mas masih 'fight di mahkamah' bagi membolehkan mereka kembali beroperasi. Tetapi 'fight' sampai bila? Campurtangan kerajaan kali ini mereka tuntut. Buluh Mas sebenarnya tidak pernah disekat beroperasi. Kedai serbaneka mereka terus beroperasi dengan lesen. Cuma mereka tidak dibenarkan mengambil ahli baru dan membayar keuntungan kepada pelabur. Namun, ramai yang mengadu, Buluh Mas semakin membisu. Apa nasib pelabur-pelabur mereka?

Jika benar Bank Negara bertindak zalim, mengapa pengusaha agensi ini tidak melaung-laungkan kononnya kerajaan berlaku zalim? Ini kerana mereka sendiri tahu yang mereka telah melakukan kesalahan. Malangnya, ada pihak yang dihasut untuk menyalak dengan nada "KEMBALIKAN DUIT PELABUR, TANGKAP SAHAJA MEREKA YANG MENIPU. JANGAN MAKAN DUIT RAKYAT".

Bagi penulis, nasib malang pelabur ini memang layak untuk mengajar para pelabur tentang pentingnya 'risk assessment' sebelum membuat pelaburan. Namun bukankah kita sedia maklum bahawa orang Melayu ini sangat beremosi. Marahkan nyamuk, bukan sahaja kelambu dibakar. Rumah pun sanggup dibakar. Biar hidup merempat asalkan tak digigit nyamuk dalam rumah sendiri. Tapi, siapa kata hidup merempat tak digigit nyamuk? Segala mak nenek nyamuk menanti.

P/S : Apa pula status ISLAND RED CAFE yang restorannya semakin bercambah bagai cendawan selepas hujan? Kalau lulus, penulis teringin nak join! I love makan!