Khamis, Oktober 15, 2009

Keluhan Dari Putrajaya

Putrajaya adalah bandar paling muda di Malaysia dan sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, ianya dilahirkan sebagai sebuah bandaraya dalam taman.

Namun, Putrajaya tidak dapat lari dari perancangan yang tidak menepati tuntutan masa depan. Contohnya ruang pejabat yang disediakan adalah berdasarkan penjawatan di jabatan-jabatan pada tahun 2003 dan 2004 dan setelah 5 tahun, pertambahan ruang-ruang bagi memenuhi keperluan pembesaran organisasi mengakibatkan banyak ruang pejabat menjadi sempit. Bagaimana pula untuk 5 tahun lagi?

Begitu juga dengan ruang meletak kenderaan kakitangan. Indikasi pembesaran ruang pejabat akibat pembesaran organisasi terkait rapat dengan pertambahan kakitangan. Kemudahan pembiayaan kenderaan oleh syarikat kewangan yang berlumba-lumba mempromosi pembiayaan pinjaman kereta kepada kakitangan membuatkan pemilikan kereta menjadi sesuatu keperluan terutamanya mereka yang bekerja di Putrajaya.

Akibatnya, pada setiap pagi dan petang, kesesakan di Putrajaya menjadi terlalu teruk akibat dari keperluan untuk kakitangan yang tinggal di Kuala Lumpur, Shah Alam, Seremban, Ampang, Gombak malah Rawang dan Melaka, yang berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

Kemudahan kuarters di Putrajaya tidak meliputi semua kakitangan atas banyak sebab seperti pendidikan anak, pekerjaan pasangan, kekangan kewangan dan faktor sosial.

Jadi, apa yang sangat diperlukan ialah, pertambahan ruang letak kereta yang seharusnya menjadi tanggungjawab jurutera jalanraya di Perbadanan Putrajaya untuk merancang atas kajian yang dilakukan berdasarkan banci lalulintas yang perlu dikendalikan.

Masalah ini tidak harus diselesaikan dengan jalan mudah dan 'menindas' dengan mengarah supaya sistem Park & Ride dipopularkan sedangkan mereka yang memandu untuk ke tempat kerja sebahagian besarnya bukanlah penduduk Putrajaya.

Mereka menghabiskan banyak masa untuk menghantar anak ke sekolah dan menghantar pasangan ke tempat kerja sebelum memandu ke Putrajaya dan kini dipaksa untuk meletak kereta dan menaiki bas, sepelaung dari tempat kerja mereka.

Pada jam berapakah mereka akan mula bekerja? Apakah di Putrajaya akan ada WP4 WP5 dan WP6 pula? Sudah tentu itu merupakan sesuatu yang mustahil. Dari sudut lain, adakah ini menunjukkan kakitangan awam di Putrajaya akan diperas untuk terdedah kepada implikasi kewangan yang menyukarkan?

Maka, seharusnya ruang tanah yang luas di sekitar Kompleks A hingga E dan Presint 1 hingga Presint 4 , dipenuhi dengan tempat meletak kenderaan yang sebenarnya masih boleh dihiasi lanskap menarik bagi memberi erti bandaraya dalam taman.

Laluan masuk waktu pagi dan laluan keluar waktu petang juga boleh diubah berpandukan masa dengan aliran megikut kawasan-kawasan pejabat yang tinggi bilangan kakitangan berkenderaan sendiri. Semuanya adalah bergantung kepada solusi ilmiah semata-mata. janganlah terlalu malas untuk memikirkan solusi, para kakitangan awam yang terpaksa menanggung akibat.

Putrajaya bukanlah kawasan pelancongan bagi kakitangan yang ditugaskan untuk bertugas di sana. Ianya merupakan hala tuju wajib bagi memastikan periuk nasi mereka berisi. Jangan disusahkan mereka yang sedia susah dengan ragam lalulintas juga ancaman kemiskinan bandar. Ianya jelas tidak membantu. Walaupun kelihatan remeh, isu ini mungkin memberi impak besar satu hari nanti.