Sabtu, Oktober 31, 2009

Tiada Bonus, COLA Kekal, Win-Win Situation

Ramai kakitangan awam yang tersinggung apabila banyak pihak menempelak CEUPACS tetapi bukan semua kakitangan awam yang gagal memahami situasi kewangan negara yang pada masa ini 'tidak begitu sihat'. Terdapat juga pendapat yang menghina kakitangan awam sesuka hati berhubung isu bonus. Ini seharusnya tidak dibuat tanpa mengelak untuk menggambarkan keseluruhan kakitangan awam.

Ramai kakitangan awam memahami alasan disebalik pemberian bonus dan perbincangan berdasarkan logik telah dibuat di mana-mana di kedai-kedai kopi bahawa perbendaharaan negara tidak mengizinkan pemberian bonus.

Sebenarnya penjawat awam perlu bersyukur kerana khabar angin tentang kononnya pemberian COLA akan dipotong dalam Bajet 2010 tidak menjadi kenyataan. Maka, ketiadaan bonus dan pengekalan COLA adalah satu keputusan menang-menang.

CEUPACS boleh menyebut mereka mewakili perkhidmatan awam tetapi perlu diketahui, CEUPACS bertindak atas kapasitinya yang sebenarnya tidak dibuat berdasarkan pandangan kakitangan awam secara keseluruhan. Selama ini tidak ada pun pungutan pendapat sebaginya.

Mengapa pula kakitangan awam dihentam dengan kata-kata yang tidak bersusila?

Jangan menghina perkhidmatan awam dengan nista yang sedemikian rupa kerana ingatlah, mereka tidak meminta apa-apa, bahkan CEUPACS yang bertindak sendiri dalam isu bonus 2 bulan ini.

Ramai kakitangan awam juga membaca akhbar dan mengikuti perkembangan ekonomi serantau bagi kefahaman tentang iklim ekonomi semasa.Mereka tidak suka gambaran seolah-olah mereka ini terlalu bodoh dan tidak bekerja.

Bahkan, kakitangan awam Kementerian Kesihatan Malaysia yang ramai di dalam perkhidmatan awam, bekerja keras siang dan malam untuk memberi harapan kepada rakyat yang kepanikan ketika berlaku wabak Influenza H1N1.

Kakitangan Kementerian Pelajaran yang juga bukan sedikit, telah memastikan orang seperti penulis mendapat pendidikan wajib 11 tahun dengan percuma.

Jika hendak menggunakan istilah 'duit rakyat' dalam perbelanjaan mengurus pentadbiran kerajaan, pihak yang menentang lantang ini seharusnya jangan sentiasa berharap agar 'diskaun' cukai pendapatan dibuat setiap kali Bajet, malah pejuangkanlah untuk potongan yang lebih tinggi.