Ahad, November 07, 2010

Jabatan Meteorologi Malaysia Patut Malu

Semasa saya di Bandung 16 - 19 Oktober, TV di Indonesia telah menyiarkan aktiviti pemantauan di Gunung Merapi oleh petugas-petugas vulkanologi di Yogjakarta. Pada masa itu saya dapat rasa yang kalau meletus pun, Yogja masih jauh dari Bandung. Lagipun pada masa tu, tak siapa peduli pasal Merapi kecuali ahli vulkanologi. TV pun menyiarkan berita itu sekali sehari.

Terpampang pada waktu itu cuma petugas vulkanologi yang sedang membaca seismograf tentang gegaran dalaman Merapi. Yang menjadi perkara itu masuk TV ialah bila tahap Waspada sedang dibincangkan untuk dinaikkan kepada Siaga.

Terdapat 4 status gunung berapi di Indonesia. Normal, Waspada, Siaga dan Awas. Status Normal kepada Siaga telah dibuat pada 23 September 2010.

Dua hari selepas aku pulang ke tanah air, Merapi akhirnya dinaikkan ke taraf Siaga, yakni pada 21 Oktober 2010. Status itu bertahan hanya tiga hari sebelum dinaikkan ke tahap Awas dan pada 26 Oktober 2010, Merapi mula meletus. Korban siri pertama, juru kunci Merapi yang sangat popular di Indonesia dan dalam dunia kebudayaan Jawa, Mbah Maridjan.

Bukan sekadar itu, beberapa ketika selepas letusan 'batuk-batuk' yang menyusul selepas letusan yang membunuh Mbah Maridjan dan 30 orang yang berada di sekitar rumahnya, Merapi mengganas lagi pada 3 November . Letusan paling hebat setakat ini berlaku malam kelmarin (gambar sebelah) dan terus yang menyebabkan gumpalan debu panas dan lahar mengalir sehingga 20km dan membunuh 77 lagi orang yang dikatakan berada di zon selamat. Seterusnya Merapi terus menerus memancur debu panas semalam (gambar atas) dan berterusan lagi hingga awal pagi Ahad setakat jam 6 pagi waktu Malaysia.

Sehingga semalam, penerbangan Air Asia ke Yogja, Solo malah Bandung dan Jakarta telah dibatalkan. Penerbangan MAS ke Bandung yang dialihkan ke Jakarta telah dibatalkan terus. Berpuluh-puluh lagi syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa menghentikan penerbangan ke bandar-bandar tersebut. Bandung mula dihujani abu.

Walaupun Merapi tetap memakan korban setelah amaran demi amaran hasil penyelidikan badan vulkanologi Indonesia memberi petanda jelas sejak sebulan lalu, badan vulkanologi negara tersebut perlu diberi tabik hormat kerana berjaya menjalankan tugasnya dengan sempurna dan betul.

Di Malaysia, bayangkanlah, sebuah negara yang dikatakan lebih maju dari Indonesia, kisah banjir besar yang melanda Perlis dan Kedah pada 1 November lalu hanya diketahui setelah air menggenangi sehingga kedalaman 2 meter. Penduduk terpinga-pinga mengapa hujan tidak berhenti-henti. Padahal kejadian tersebut telah diramal oleh badan meteorologi Thailand apabila tekanan rendah dari Telukan Siam melintas masuk wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand sebelum kembali normal di Laut Andaman.

Ini bukannya curahan hujan perolakan biasa yang tidak dapat diramal pembentukan awan terkumpul akibat tekanan dan angin yang berubah-ubah. Hujan jenis ini paling lama pun 5 jam. Ini merupakan hujan yang terhasil akibat tekanan rendah berpusat yang memang dapat dicerap beberapa hari sebelum hujan tersebut sampai di Kedah dan Perlis. Hujan jenis ini turun sehingga 2 hari tanpa henti.

Malah, media massa langsung tidak peka terhadap apa yang telah berlaku dan hanya menempek mencari bahan berita setelah segalanya tenggelam dan musnah. Adakah ini disebabkan butanya masyarakat ini terhadap geografi? Atau adakah badan meteorologi negara ini mengambil mudah hal ini (juga disebabkan oleh tanggapan rakyat buta geografi)?

Kita wajar memikirkan kembali langkah yang tidak pernah kita mulakan dalam menangani sesuatu bencana sebelum ianya berlalu dan selepas ianya berlaku. Jika tidak, tak gunalah kita menjadi negara maju dalam 10 tahun mendatang sekiranya kesiagaan kita dalam menghadapi bencana agak dungu dan terkebelakang, jauh lebih rendah dari 'negara yang belum maju'.