Desas desus minyak naik telah membuatkan stesen minyak diserbu lagi. Di mana-mana. Termasuk di dalam gambar tak bernama di sebelah. Saya isi di sebuah stesen minyak sebentar tadi dan kesesakannya membuatkan saya terus ke pam RON97. Beberapa orang terlihat-lihat keletah saya. Seolah-olah menunjuk kaya. Saya tidak mempedulikan telatah mereka.
Di Facebook, ada rakan pro-pembangkang yang menghantar komen menyindir lembut. Ubah cara hidup paksaan kerajaan katanya. Saya menjawab dengan lembut juga. Rakyat negara ini sangat 'season' hinggakan cara hidup terpaksa ditetapkan kerajaan.
Ini amat janggal bagi Malaysia yang mana di Thailand, Filipina dan Indonesia, rakyat menentukan cara hidup mereka. Bukanlah kerajaan.
Jika minyak Thailand paling murah RM3.20 itupun hanya sesuai untuk mesin rumput, bagaimana pula dengan harga Teh O Ais boleh berharga 10 Baht sahaja? Masih adakah kedai, hatta gerai tepi longkang hanyir di negara ini menjual Teh O Ais dengan harga RM1.05 ? Gula nya 23 Baht atau RM 2.44 sekilo!!!! Petrol 95 nya 32 Baht RM3.46 seliter !!!!!!
Di Indonesia, Teh O Ais, atau Teh Manis Dingin berharga Rp3000 atau RM1.04 dengan gula pasir sekilo di sana telah mencecah Rp9500 iaitu RM3.14 !! Harga petrol jenis RON95 di sana sekitar Rp5500 per liter atau RM1.92 !!!
Cukuplah contoh itu, dihuraikan contoh harga makanan, negara ini patut malu.
Sebenarnya yang tak kena dalam negara ini ialah golongan peniaga! Tak ke betul? Tetapi setiap kali bahan asas meningkat, rakyat yang tuli dan buta akan menyalahkan kerajaan. Sedang Thailand dan Indonesia mereka buat tak nampak, apatah lagi di persada OPEC.
Ini bermakna mereka mahu kerajaan mengawal cara hidup mereka. Ini bermakna mereka merasa bahawa mereka terencat dalam mengawal cara hidup mereka sendiri!
Pada masa yang sama mereka memberi sokongan kepada parti politik yang mahu meliberalkan segala-galanya. Parti itu mahu kerajaan tidak lagi mengawal dan menyekat mereka mengumpul kekayaan di negara ini! Hakikat pelik tanda dunia hampir kiamat.
Saya tak mahu tahu berapa nilai yang naik. Saya terus mengisi RON97 di Petronas tersebut tanpa mempedulikan mata memandang. Sebalik berlalu, ramai yang rela beratur dan membiarkan pam hijau itu kosong.
Agaknya mereka perlu ke sana ke sini jumpa skandal, jumpa teman, makan angin, balik kampung, lepak tepi padang bla, bla bla, malam ini. Rugi isi RON97 agaknya. Saya tak perlu semua tu untuk minggu ini. Apa salahnya membeli RON97 yang berharga RM2.30 seliter itu?
Rakyat diajar hipokrit secara besar-besaran oleh parti pembangkang dan sedang mencipta celaka untuk diri mereka sendiri. Hakikatnya, negara tidak 'seIslam' negara ini seperti Thailand dan Indonesia, lebih mempunyai peniaga yang beretika dan rakyat yang rasional.






