Pakatan Rakyat memasuki Sarawak dengan membawa elemen Semenanjung 100%. Ini dapat dilihat dari kemasukan mereka ke 'negara Sarawak' itu sendiri membawa elemen Semenanjung sedangkan UMNO bekerjasama dengan PBB manakala MCA bekerjasama dengan SUPP.Secara jelas, dapat dilihat bahawa parti yang bertapak di Semenanjung sedang cuba masuk untuk memerintah Sarawak dengan manifesto yang mengelirukan. Ini dapat dilihat dengan PKR dan DAP mempunyai ketua menteri bayangan masing-masing yang terpampang jelas di risalah-risalah.
Sarawak adalah sebuah kerajaan yang telah menjalankan pentadbirannya dengan sistem birokratik antara paling tua di negara ini. Ia adalah sebuah negara yang mempunyai negeri-negeri sendiri seperti Kapit yang berkeluasan hampir sama dengan Pahang.
Sarawak mula menjadi idaman James Brooke, seorang pelayar Inggeris yang tiba di Santubong pada bulan Ogos 1838. James Brooke merupakan anak Thomas Brooke pegawai Inggeris di India. Dilahirkan di India, dia melayarkan kapalnya The Royalist ke pulau Kalimantan selepas dia menyertai tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris dan mendapati berlaku penentangan orang Iban dan Bidayuh ke atas kerajaan Brunei.
James Brooke membantu Sultan Brunei untuk memastikan Sarawak tenteram dan kejayaan James Brooke membuatkan Sultan Brunei menganugerahkan gelaran Raja Sarawak ke atasnya.
Tindakan Brooke menggunakan kekerasan dan kekejaman terhadap kaum bumiputra di Sarawak menyebabkan satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan di Singapura pada tahun 1854. Walaupun tuduhan tidak dibuktikan dia tetap dihantui dengan tuduhan-tuduhan.
Pemerintahan Raja Kulit Putih di Sarawak ini ditentang oleh penduduk tempatan seperti Syarif Masahor dan Rentap. Kedua-dua pahlawan ini datangnya dari dua etnik yang ternaung di Sarawak, iaitu bumiputra asal Sarawak, dan bumiputra asal Jawa, Sumatera dan Sulawesi.
Dia menamakan anak kakaknya, Charles Brooke sebagai penggantinya pada tahun 1861. James Brooke tidak berkahwin dan memerintah Sarawak selama 27 tahun.
Charles Brooke menjadi Raja Sarawak selama 49 tahun! Lebih lama dari Muamar Ghadafi memerintah Libya. Dia memerintah bermula dari 1868 hingga kematiannya pada tahun 1917. Pada zaman pemerintahannya lah British telah menganugerahkan Sarawak sebagai sebuah negara naungan dengan kerajaan berparlimen sendiri.
Pada zamannya minyak ditemui dan penguasaannya ke atas Sarawak yang lama inilah negeri Sarawak telah distabilkan dan pembinaan negara mengambil tempat tanpa apa-apa hak melainkan segalanya di atas kuasa raja, yang merupakan orang Inggeris.
Raja Sarawak terakhir, Vyner Brooke yang memerintah Sarawak pada tahun 1917 yang telah menjadi sebuah negeri yang menghasilkan getah dan minyak. Ketika diserang Jepun, Vyner mengeluarkan £200,000 dari perbendaharaan negara dan lari ke Sydney, Australia.
Selepas perang tamat, Vyner menyerahkan Sarawak kepada British dan menjadi koloni jajahan British sehinggalah British memerdekakan Sarawak dengan melalui cadangan mewujudkan Malaysia, bersama negeri Sabah, yang turut berada di tangan British.
Malaysia merupakan nama bagi rantau kepulauan Nusantara. Hari ini, Malaysia tidak dapat menjadi sebuah negara seperti maksudnya kerana sebahagian besarnya memakai nama Indonesia.
Kembali ke atmosfera pilihanraya negeri Sarawak, kemasukan PKR dan DAP ke negeri Sarawak sesetengahnya melihat sebagai tindakan sulung untuk menyamaratakan Sarawak yang selama ini mempunyai keistimewaan sistem urus tadbir tersendiri.
Setelah Pakatan Rakyat merosakkan Selangor dan Pulau Pinang dan memundurkan Kelantan 20 tahun ke belakang, Pakatan Rakyat cuba mendapatkan Sarawak untuk diagih-agihkan sesama mereka. Ini kerana, Sarawak merangkumi 35% dari keluasan Malaysia.
Ironinya, ramai mereka yang menyokong kemerdekaan Sarawak, dengan mengimpikan Sarawak sepatutnya dilonggarkan persekutuannya dengan Malaysia, merupakan penyokong kuat pembangkang.
Mereka gagal melihat bahawa pembangkang dengan jelas, berniat untuk masuk ke Sarawak, untuk menghapuskan keistimewaan negara Sarawak itu sendiri dalam persekutuan Malaysia. Mereka menghapuskan keistimewaan Sarawak dalam mencaturi sendiri iklim politiknya,
Pencerobohan elemen luar seperti anasir Brooke dan anasir PAS-PKR-DAP hanya akan membuatkan penduduk bumiputra tertindas.

