Jumaat, Julai 29, 2011

Majlis Bandaraya Ipoh Ciplak Hasil Perekacipta Melayu

Peniaga dakwa MBI beli produk ciplak rekaannya


Md. Nayan Salleh menunjukkan produk pengasingan sisa makanan yang diciplak daripada ciptaannya di Ipoh, semalam.


IPOH 28 Julai - Seorang peniaga, Md. Nayan Salleh mendakwa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menggunakan produk pengasingan sisa makanan yang diciplak 100 peratus daripada ciptaannya, yang telah dipatenkan pada 1 Januari 2009.

Lebih mengecewakan, Md. Nayan berkata, permohonan untuk membekalkan produk ciptaannya yang dikenali Sistem Penyaringan dan Pengasingan Sisa Makanan, Lemak dan Gris (Simpak) pernah ditolak pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Saya tidak marah namun kecewa dengan tindak-tanduk MBI kerana bukan sahaja enggan melayani permohonan untuk membekalkan produk itu sejak Januari lalu secara sah tetapi PBT terbabit bersekongkol dengan penciplak.

"Tindakan MBI nyata menimbulkan tanda tanya tetapi apa yang berlaku ini sememangnya melemahkan semangat para pereka dan pencipta produk tempatan seperti saya," katanya pada sidang akhbar di sini.

Md. Nayan berkata, pemasangan 17 unit pengasingan sisa makanan berkenaan berdekatan medan selera terbuka di sini disedarinya tiga hari lalu selepas dimaklumkan seorang pengedar produk tersebut.

Beliau mendakwa, satu surat permohonan rasmi untuk menjadi pembekal produk itu kepada MBI telah dihantar ke PBT terbabit pada 12 Januari lalu dan sehingga kini tidak mendapat perhatian.

Ekoran penemuan produk tiruan itu, Md. Nayan berkata dia sendiri telah mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim bagi mendapatkan penjelasan selain membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini, semalam.

Katanya, Simpak yang mula direka sejak 1998 sebelum mula dikomersialkan pada 2005 telah mendapat dua pengiktirafan antarabangsa iaitu pingat emas pada Konvensyen Reka Cipta di Bulgaria dan Geneva, Switzerland pada 1998.

"Apa yang menjadi persoalan adalah harga yang dibeli MBI ke atas produk ciplak kerana saya difahamkan ia tiga kali ganda lebih mahal berbanding produk saya.

"Simpak hanya dipasarkan RM450 untuk pemasangan sendiri manakala RM950 bagi unit siap pasang. Sehingga kini lebih 2,500 unit terjual melibatkan PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran dan beberapa agensi kerajaan serta premis restoran," katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sebuah agensi kerajaan berkata, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian produk ciplak oleh MBI itu.

"Saya menghabiskan hampir RM300,000 termasuk mendaftarkan paten namun apa yang berlaku, ada pihak termasuk PBT sendiri tidak menyokong usaha pereka tempatan dan mendapatkan produk ciplak," katanya.