KUALA LUMPUR 20 OGOS: Sebaran dokumen berkaitan 'Langkah Kajang' kononnya ditulis oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli adalah palsu dan fitnah.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil mengesahkan demikian ekoran beberapa panggilan dan notifikasi yang diterima beliau pagi ini berhubung dokumen palsu itu.
Fahmi"Saya mengesahkan bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan fitnah.
"Malah, sesiapa sahaja boleh membaca laman blog Rafizi sekitar waktu 'Langkah Kajang' dimulakan dan akan mengesahkan bahawa beliau sendiri merujuk kepada strategi ini dengan nama 'Serampang Kajang': http://rafiziramli.com/2014/01/serampang-kajang-selangkah-ke-putrajaya/," katanya dalam kenyataan.
Justeru, KEADILAN mengecam tindakan sebaran maklumat yang salah dan tidak bertanggungjawab oleh musuh-musuh politik.
"Usaha sebaran fitnah sebegini membuktikan politik di Malaysia masih belum cukup matang, dan musuh-musuh politik KEADILAN enggan berentap di tahap idea dan konsep, tetapi masih terperangkap di tahap politik fitnah dan lucah yang kuno," kata Fahmi.




