Saturday, April 26, 2008

Isu Keris Selesai?

UTUSAN MALAYSIA

Isu keris Panca Warisan selesai

Persoalan Terdahulu

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR 25 April - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini secara terbuka memohon maaf kepada rakyat negara ini sama ada Melayu atau bukan Melayu jika isu keris Panca Warisan telah menyinggung perasaan mereka.

Hishammuddin berkata, beliau bertanggungjawab jika tindakan menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005 merupakan faktor yang menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

"Saya sendiri akan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Kalau ia jejaskan prestasi (BN), saya tidak boleh lari daripada realiti.

''Saya minta maaf dan bertanggungjawab kerana saya sayangkan parti dan bangsa saya,'' katanya.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Pemuda BN berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 di Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan menghunus keris itu bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan sesiapa seperti yang digembar-gemburkan.

Sebaliknya kata beliau, ia sekadar simbol kerana nilai Keris Panca Warisan adalah simbol warisan orang Melayu.

"Kepada orang Melayu, saya minta maaf kerana tidak dapat pertahankan simbol warisan kita yang sebenarnya," katanya.

Menurut beliau, ia merupakan satu pengajaran sedih apabila terpaksa mengetepikan warisan budaya bangsa kerana politik.

"Saya bukannya orang yang angkuh atau 'arrogant' yang tak boleh terima hakikat itu. Itu merupakan satu pengajaran yang sedih.

"Tapi kalau politik sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mesti besar hati dan jiwa meletakkan kedudukan BN (parti) lebih penting daripada sesuatu," katanya.

Ditanya apakah itu bermakna keris Panca Warisan tidak lagi bermakna, Hishammuddin berkata ia amat bermakna kepadanya sebagai orang Melayu tetapi tidak ramai yang mempertahankannya.

"Keris itu takkan ke mana. Apa yang dipegang Datuk Onn Jaafar (Pengasas UMNO) 46 tahun dulu itu baru disedari hari ini," tegasnya.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu membuat pernyataan maaf itu hari ini supaya tidak menimbulkan persepsi lain pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai ketika ditemui pemberita berkata, Hishammuddin membuat keputusan yang berani dengan menilai semula tindakan berkenaan dan memohon maaf jika menyinggung mana-mana pihak.

''Tidak perlulah kita ungkit-ungkit lagi bahawa Hishammuddin melepaskan tanggungjawab. Ini tidak adil kepada beliau. Sekarang adalah masa untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Keris Panca Warisan yang juga keris pusaka Pergerakan Pemuda UMNO pertama kali diarak masuk oleh 12 hulubalang pada Persidanga Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO 2005 bagi membangkitkan semangat ahli Pemuda UMNO.

Isu berkenaan kemudiannya dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang sebelum ini, Lim Kit Siang di Parlimen dan turut digunakan pembangkang dalam kempen pilihan raya umum Mac lalu.

Mesyuarat Pemuda BN pada hari ini turut mengiktiraf peranan Sabah dan Sarawak sebagai tulang belakang BN dan persetujuan untuk mengadakan Mesyuarat Pengurusan Pemuda BN pada setiap dua minggu

Analisis

Akhirnya Datuk Seri Hishamuddin telah akur atas bagaimana soal sensitiviti dimainkan oleh masyarakat lain bukan Melayu. Ini kerana terlalu banyak perkara yang nampak sebagai satu sensitiviti oleh bangsa Melayu dan mungkin lebih menonjol di zaman beliau memimpin Pemuda UMNO Malaysia.

Mungkin mereka tidak menghirau seandainya upacara gilang gemilang tersebut digantikan dengan penyampaian tepak sireh berisi mantera jampi bagi melemahkan mereka kerana mereka tahu itu merupakan sesuatu yang tak mungkin.

Tetapi dalam menonjolkan senjata, ianya ibarat cubaan untuk mencari geruh. Mungkin kepercayaan turun temurun nenek moyang bangsa Cina bahawa tindakan sedemikian adalah untuk memulakan serangan adalah sesuati yang seseorang individu bukan bangsanya tidak tahu. Apa lagi bahasa Cina hanya difahami oleh segelintir kecil masyarakat Melayu. Isu tersebut menjadi bahan cerita di kedai kopi sedang kaum Melayu tidak mengetahui apa yang sedang diperkatakan oleh orang Cina diseluruh negara.

Ini menandakan bahawa di negara ini, persefahaman antara kaum berada pada tahap yang buruk. Seorang Melayu tidak mampu untuk memahami pantang larang Cina. Atau konsep yang cuba ditonjolkan itu sebenarnya tidak mendatangkan masalah tetapi provokasi tersebut besar bagi masyarakat Cina yang melihat apa yang telah dilakukan oleh Datuk Hisham melalui siaran TV. Isunya ialah, di tahap manakah kesefahaman antara kaum di Malaysia dapat digariskan.

Gangguan tersebut dapat terlihat dari apa yang terjadi pada hari ini. Corak politik gabungan parti-parti yang tidak sama halatuju telah menguasai minda rakyat. Namun masih menjadi tanda tanya, apabila segalanya bermula di Perhimpunan Agung UMNO 2005 dan mengapakah Datuk Hisham yang memulakannya?

No comments: