Jumaat, Mei 16, 2008

Orang Ipoh Dalam Bahaya?

Utusan Malaysia 16 Mei 2008

Penduduk Ipoh terdedah penyakit paru-paru

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

MANJUNG 15 Mei - Penduduk Ipoh kini terdedah kepada risiko menghidap penyakit radang paru- paru dan lelah ekoran keadaan berjerebu di bandar raya itu yang dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang simen.


Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, berbeza dengan bandar-bandar lain di Perak dan negeri-negeri lain, Ipoh kini cukup berjerebu.

''Keadaan berjerebu ini mungkin biasa bagi penduduk Ipoh tetapi orang luar tengok berbeza. Lebih setahun saya duduk di Ipoh, debu penuh atas kereta selepas dua hari dibasuh.

''Tidak mustahil habuk kecil ini tidak masuk ke dalam paru-paru dan ini boleh mendatangkan penyakit paru-paru seperti radang dan asma," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Perak di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Hari Kesihatan Sedunia disambut di seluruh dunia pada setiap 7 April dan tema pada tahun ini ialah ''Melindungi Kesihatan daripada Perubahan Iklim".

Mengulas lanjut, Ahmad Razin berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya membuat kajian perbandingan kadar jangkitan penyakit radang paru-paru, asma dan merah mata di Ipoh dan bandar lain di negeri ini bagi melihat sama ada keadaan udara di Ipoh boleh membahayakan kesihatan.

StatistikKatanya, statistik rekod perbandingan itu akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi tetapi ia tidak akan didedahkan.

''Sekiranya terdapat perbezaan dalam statistik tersebut, pihak industri kilang simen perlu buat sesuatu dan jabatan kerajaan berkaitan juga perlu awasi perkara ini," tegas beliau.

Ditanya sama ada penduduk Ipoh perlu memakai topeng sebagai langkah keselamatan, Ahmad Razin enggan mengulas sebaliknya menasihatkan mereka yang mengalami masalah batuk, sakit dada, asma atau merah mata supaya mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik.

Analisis

Datuk Dr. Ahmad Razin yang menggantikan Datuk Dr. Prathapa Senan sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Perak pada penghujung 2006 telah mengisukan mengenai perkara ini selepas lebih setahun mendiami Ipoh. Apakah baru kini kilang-kilang simen di Lembah Kinta mula memberi kesan kepada penduduk Ipoh. Tasek Cement yang terletak di Tasek iaitu di tengah-tengah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh telah beroperasi sejak tahun 1960an. Beribu-ribu aduan barangkali telah kedengaran berhubung pelepasan pepejal terampai dari kilang tersebut sejak ia memulakan operasi. Begitu juga dengan kilang simen Lafarge ( dahulunya APMC ) yang terletak di Kanthan, Chemor iaitu kira-kira 17km ke utara Ipoh. Kedua-dua kilang ini telah lama beroperasi. Mengikut kepercayaan orang-orang Cina di Malaysia, masakan di Ipoh lebih sedap kerana punca airnya mengandungi mineral yang tinggi kesan dari mukabumi berbatu kapur. Apakah faktor pepejal terampai boleh menjadi penambah perisa? Ataupun lahirnya artis-artis tempatan dan antarabangsa di Ipoh ada disebabkan oleh pepejal terampai ini? ( sekadar jenaka ). Apa yang pasti, kami warga Ipoh telah hidup dengan 'pepejal terampai' ini sejak berpuluh tahun dan sekiranya baru hari ini permasalahan ini dikemukakan dengan kajian serius, kami sangat mengalu-alukannya.

Tiada ulasan: