Saturday, June 14, 2008

Media Indonesia Keji?

Utusan Malaysia, Sabtu, 14 Jun 2008

Sempadan muncul antara minyak, agama

Isu kenaikan harga bahan bakar di Indonesia masih diprotes oleh segenap lapisan rakyat.

Sementara pertelagahan antara organisasi masyarakat yang mendokong kebebasan beragama dan penentangnya termasuk kewujudan aliran Ahmadiyah belum menampakkan penyelesaian di Indonesia.

Sebelum ini pemerintah telah memberikan bantuan tunai secara langsung kepada rakyat miskin untuk mengurangkan bebankan serta mereda kegelisahan mereka berikutan melambungnya harga minyak mentah dunia.

Dalam kes Ahmadiyah pula, kerajaan mengambil jalan tengah iaitu melarang ajaran Ahmadiyah yang dianggap menyeleweng daripada agama Islam itu disebarkan.

Namun aliran Ahmadiyah tidak dibubarkan sekalipun kerajaan didesak oleh pertubuhan radikal Islam supaya berbuat demikian.

Lusa kira-kira 5,000 anggota pertubuhan masyarakat Islam yang menuntut Ahmadiyah dibubarkan akan turun lagi ke jalan raya untuk mendesak pemerintah.

Namun di tengah kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga, pro dan kontra tentang kebebasan beragama dan keyakinan akidah, isu kedaulatan Indonesia di perbatasan dibangkitkan semula oleh media tempatan.

Ia cuba dipanaskan setelah pihak berkuasa perhutanan di Kalimantan Barat mengesan pembinaan sebuah tempat pendaratan helikopter yang kekal di kawasan sempadan kedua negara.

Sebuah media tempatan dalam rencana pengarangnya mendakwa Malaysia cuba membuat provokasi melalui pembinaan tempat pendaratan helikopter.

Tanpa usul periksa penjelasan Kementerian Luar, tapak pendaratan pesawat itu dikatakan digunakan untuk kegiatan menyeludup kayu balak dari hutan Kalimantan ke Malaysia.

Menteri Perhutanan MS Kaban seperti yang dipetik dari akhbar Repulika mencurigai tempat pendaratan helikopter itu untuk membantu kegiatan pembalakan haram di Kalimantan.

Selain itu, timbul kecurigaan kemungkinan ia digunakan untuk aktiviti ketenteraan seperti pengintipan seperti yang disuarakan oleh Menteri Pertahanan, Juwono Sudarsono.

Bagaimanapun semalam, Menteri Luar Indonesia Hassan Wijuda menjelaskan, bahawa pembinaan kemudahan pendaratan pesawat itu adalah sebahagian daripada persetujuan bersama antara dua negara.

Tempat pendaratan di kawasan Malaysia dalam jarak dua kilometer dari sempadan itu adalah bagi keperluan kerja-kerja mengukur sempadan memandangkan kawasan lain di sepanjang sempadan itu tidak mempunyai laluan.

Selain itu tapak pendaratan berkenaan sukar untuk dibina di kawasan Indonesia kerana beberapa halangan termasuk bukit yang curam.

"Tidak ada yang pelik dengan pembangunan itu," kata Hassan kepada Jakarta Post.

Menurut Menteri Luar Indonesia itu lagi, kedua-dua negara telah bersetuju membina tujuh tempat pendaratan helikopter sepanjang sempadan Malaysia - Kalimantan.

Tidak ada salah dengan pembinaan itu kerana ia diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Sempadan Malaysia-Indonesia dan kemudahan itu juga digunakan oleh bahagian pemetaan Indonesia dalam kerja kerja mengukur di kawasan perbatasan, kata Hassan.

Duta besar Malaysia, Zainal Abidin Mohamad Zain dalam kenyataannya memberitahu tempat pendaratan itu dibina oleh pihak Indonesia sendiri (walaupun terletak di sebelah Malaysia) atas persetujuan bersama.

Melihat isu itu berkaitan dengan kedaulatan dan maruah negara yang mungkin memanaskan kembali hubungan kedua-dua negara, beliau mengingatkan pelbagai pihak agar menghentikan isu tersebut.

Ingatan Menteri Luar itu dianggap wajar demi menjaga hubungan baik dan bagi mematuhi perjanjian yang telah dibuat.

Namun di sebalik ingatan itu, beberapa pihak di negara ini dilihat berusaha untuk memberikan tanggapan negatif termasuk kelemahan pemerintah dalam menjaga kepentingan negara.

Agak menghairankan ketika isu utama lain perlu diberikan perhatian serius, terdapat pula perkara terpencil yang diangkat untuk menimbulkan suasana tidak tenteram antara kedua negara.

Bagaimanapun kerajaan kedua negara percaya perjanjian bersama melibatkan kawasan sempadan tidak boleh digugat dengan fakta yang tidak benar dan tidak jelas.


Analisis

Benar, di saat beribu-ribu lagi isu yang perlu diketengahkan oleh media Indonesia, banyak di antara mereka memilih untuk melariskan jualan akhbar mereka dengan isu-isu yang bakal menggeselkan hubungan dua hala Malaysia Indonesia.

Media di Indonesia boleh dikategorikan sebagai media murahan, tidak bertanggungjawab dan batu api keji yang gemar menyogok rakyat Indonesia yang kebanyakannya golongan berfikiran sempit kurang terpelajar dan bertindak mengikut emosi. Ya. Sebilangan sahaja. Bukan kesemuanya. Masih ada ramai lagi rakyat Indonesia yang waras berfikir tetapi bilangannya tidaklah seramai hooligan yang menanti isu antara dua negara ini untuk dijadikan bahan mereka berhibur menjerit protes dan membuang masa dengan tunjuk perasaan.

Mengapa tidak isu kesepakatan bersama, isu memakmurkan rantau Asia Tenggara dan isu-isu serumpun? Itu tidak menguntungkan mereka. Memang menjadi dasar media murahan, kebanyakan media di Indonesia hanya menyiarkan berita-berita yang belum terbukti kesahihannya dalam memprovokasi sebilangan rakyat Indonesia yang dangkal untuk memenuhi jalan-jalanraya bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Malaysia. Akibatnya kejadian bakar bendera Malaysia pernah berlaku satu ketika dulu.

Inilah padah apabila media tidak diperbetulkan halatujunya dan terus dibiarkan menganut fahaman keji lagi tercela. Tiada media seburuk media Indonesia yang gagal bersikap profesional dalam menyalur maklumat kepada rakyat mereka. Media Indonesia boleh dikategorikan sebagai media pengadu domba dan layak dikira sebagai berpemikiran kampung dan ketinggalan zaman.

Semoga media Indonesia satu hari nanti dapat keluar dari keburukan moraliti sebegini dan mendapat penghormatan antarabangsa.

No comments: