Friday, February 05, 2010

Guan Eng Takut Atau Bongkak ?

Sedaq gagal serah memorandum kepada Guan Eng
05/02/2010 6:26pm

PULAU PINANG 5 Feb. – Suasana kecoh berlaku semasa sekumpulan wakil dari 30 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu “Gabungan Sedaq” yang diketuai Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mahu menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng di sini hari ini.

Guan Eng hanya mewakilkan Pegawai Khasnya untuk menerima memorandum tersebut.

Gabungan itu yang mahu berjumpa sendiri dengan Guan Eng, bagaimanapun enggan menyerahkannya kepada pegawai berkenaan.

Gabungan itu kemudiannya bertindak membakar kertas memorandum itu dan patung yang menyerupai Guan Eng di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), bangunan di mana terletaknya pejabat Ketua Menteri.

Ibrahim yang juga Presiden Perkasa kemudiannya memberitahu pemberita, perhimpunan yang disertai kira-kira 3,000 orang itu diadakan bagi membela nasib peniaga Melayu Pulau Pinang yang dikatakan telah ditindas oleh kerajaan negeri.

Gabungan Sedaq menggariskan 10 tuntutan dalam memorandum itu antaranya meminta kerajaan negeri menghentikan tindakan meroboh gerai peniaga Melayu.

Perhimpunan itu mengakibatkan kesesakan teruk di pusat bandar Georgetown, sebelum disuraikan oleh kira-kira 100 anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Ulasan

Lim Guan Eng bukan baru dalam politik. Sangat sukar untuk dia berada dalam kedudukan hari ini. Sebab yang melayakkan dia menduduki kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang bukan kerana orang sukakannya. Tetapi hanya kerana di sana, orang banyak membenci kerajaan pusat pada ketika itu. Malangnya dia tidak tahu mengambil peluang melalui cara yang terhormat.

Polemik yang dibawakan olehnya hanyalah kerana dendam semata-mata. Dendam kepada orang Melayu. Ini jelas. Tidak perlu menuduh saya menyalakan sentimen perkauman. Saya hanya mengulas apa yang berlaku di depan mata dan membuatkan ramai yang memberi tafsiran yang sama tanpa disogok propaganda mana-mana pihak.

Lim Guan Eng, sama ada takut atau bongkak, tetap telah menggambarkan bagaimana seorang Napoleon kecil yang hanya pandai bermain pedang kayu, sedang cuba mengacah pihak yang dianggapnya sebagai musuh.

Sama ada dia berkelakuan bijak atau bodoh, dia tetap telah menjatuhkan popularitinya sendiri dengan tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan yang pada sesetengah penyokongnya, dianggap sebagai berani. Hakikatnya, dia memang berani. Berani untuk menjerut lehernya sendiri di sebatang pokok pinang.

Sepertimana kerajaan pusat hari ini ditekan dan disenggol golongan minoriti sehingga tahap keakuran atas keterbukaan tertentu menjadi semakin signifikan, DAP tetap menyerlahkan agenda chauvinisnya di mana akhirnya laungan bodoh pahlawan perkauman mereka yang hanya pandai menggunakan frasa " itu bersifat perkauman " , akan mati ditimpa perkataan-perkataan mereka sendiri.

Politik memang banyak berkait dengan propaganda. tetapi terlalu banyak propaganda merosakkan karier politik seseorang itu lebih-lebih lagi apabila mulutnya berkata lain, hatinya berniat lain.

No comments: