Thursday, January 27, 2011

'Khurafat' Timbulkan Persepsi Negatif Tentang Islam

Teman bukan nak menempelak kreativiti pengarah filem Melayu sekarang. Makin hari makin bagus. Cuma teman benci dengan ekploitasi ayat-ayat Al-Quran di dalam filem hantu Melayu ni. Pendapat teman dipersetujui ramai dalam Facebook peribadi teman.

Bayangkanlah, dewasa ini, anak muda bukan Islam yang mengikuti filem Melayu, contohnya serani Melaka dan bumiputera Sabah dan Sarawak, yang mencari-cari rahsia kebenaran Islam, mula menganggap Al-Quran itu merupakan kitab yang hanya diguna untuk menghalau hantu!

Ini sudah salah! Malah mereka menyebut berasa seram sejuk apabila mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran di masjid-masjid. Astaghfirullahalazim. Salahkah mereka berasa demikian? Mereka bukan orang Islam. Mereka tidak salah. Yang salah ialah kita orang Islam yang sepatutnya mendidik dengan cara yang betul, tetapi memilih untuk mendidik dengan cara yang salah!

Hampir semua cerita hantu Melayu mengeksploitasi ayat Al-Quran. LPF buat apa? Bukankah itu juga unsur yang merosak pemikiran?

Andai kisahnya merupakan gangguan jin yang tidak terlihat riak hantunya kerana ditabir oleh Allah di dalam dunia ghaib, kisah-kisah kerasukan, maka ada ampun jugalah kalau ayat Al-Quran untuk diperlihatkan sebagai perubatan cara Islam. Itu pun bukan dengan bacaan terpekik terlolong!

Tapi kalau hantu yang ditonyoh mukanya oleh jurumekap sampai sehodoh mungkin, mencekik orang sampai mampus, apa kejadahnya tu? Ia sebuah rekaan. Atau kata lain, KEBOHONGAN.

Mengapa kita biarkan ayat Al-Quran dimain-mainkan dengan KEBOHONGAN? Mengapa kita biarkan pembuat filem menyekutukan ayat-ayat suci dengan pembohongan?

Jika hendak membuat cerita bohong, wujudkan pawang pembohong dengan membaca jampi serapah bohong juga. Itukan lebih bagus!

Al-Quran bukan kitab penghalau hantu. Ia adalah kitab panduan umat akhir zaman dalam meningkatkan keimanan dalam mengesakan Allah SWT. Bacaannya dilagukan, bukan dengan terjerit-jerit.

Sebaik-baik ayat untuk mengelak gangguan jin ialah ayat ke 255 Surah Al Baqarah yang dibaca dalam hati dengan iktikad bahawa makhluk tidak mempunyai kuasa. Hanya Allah empunya kekuasaan.

Kita jangan lupa bahawa pendakyah anti-Islam sejak dahulu memfitnah bahawa Rasulullah dirasuk syaitan semasa mendapat wahyu dan kononnya Al-Quran itu wahyu dari syaitan. Nauzubillah.

Mengeksploitasi ayat Al-Quran dalam cerita-cerita hantu hanya memburukkan lagi persepsi bukan Islam, malah satu hari nanti, mungkin anak-anak muda yang dilahirkan Islam yang tidak berpendidikan Islam akan berfikiran serupa.

Filem hantu Melayu hari ini benar-benar sesat lagi menyesatkan. Tidak berlebihan untuk menyebut, ia memang memalukan seluruh umat Islam di mata orang bukan Islam.

5 comments:

Anonymous said...

Mereka tak kisah dah sekarang. Yang penting dapat kaut keuntungan.

Tengoklah filem-filem seram Barat. Tanda salib dipaparkan untuk menghalau hantu.

Imej-imej Islam juga dipersenda.Wanita bertudung dituduh menyembunyi love bite dan bernafsu tinggi.

Di Barat, sister-sister gereja dipaparkan dalam filem pornografi. Begitu juga dengan father-father gereja. Tidak menjadi masalah jika pelakon porn memakai salib ketika berlakon.

Kita kearah itu jika kita bersikap tak apa.

Anonymous said...

atas dasar kebebasan brkarya semuanya boleh tak kira le apa yg nak jadi dgn orang melayu, kesan saikologi kpd budak2 amat lah jelas histeria sana hesteria sini, apabila disekat mereka akan bandingkan pula dgn filem2 asing tapi depa lupa filem2 melayu orang asing tak tengok yg tengok orang malayu aje, melayu...melayu memang kau layu..kah..kah..kah

usop said...

Apabila kita ingin memperkatakan tentang sesebuah filem yg pertama yg perlu difikirkan adalah tema atau mesej filem itu sendiri. Dari mesej kita dapat belajar sesuatu dan sebagai manusia yg diberi akal fikiran boleh menilai samada buruk atau baik sesuatu karya yg dicipta.
Sejak lahir manusia belajar hidup atas pengalaman orang lain yg didapati samada dr manusia disekeliling guru, buku atau apa saja.
Sebagai manusia yg beriman kita belajar dr sejarah yg ditulis dalam Al-Quran sebagai pedoman hidup.
Sekiranya filam khurafat dibuat untuk menyesatkan sepatutnya LPF tidak membenarkan ianya ditayang..namun mungkin khurafat ada menunjukkan kemungkaran yg tidak sepatutnya kita buat dan untuk hidup sempurna hanya Al-Quran boleh dijadikan panduan hidup.
Berfikirlah secara rasional.. jangan cepat menghukum..

IP said...

saya sendiri tidak bersetuju pengeksploitan ayat suci al-quran untuk mendapat keuntungan mahupun politik..

namun PAS sendiri telah mengajar umat bukan Islam untuk menggunakan ayat-ayat suci al-quran untuk berkempen..bahkan kafir Pakatan pon seronok guna ayat suci al-quran dalam kempen mereka!

bagi filem pula pengawalan terhadap penggunaan ayat suci ini amatlah perlu, namun di sebalik itu pula, jika bukan ayat al-quran, bayangkan pengarah filem nak pakai apa untuk lawan hantu dalam filem mereka?takkan nak pakai ayat jampi pula?

jgnlah diambil sgt persepsi kafir terhadap al-quran, jika benar kafir itu mahu menyahut seruan Islam, filem bukanlah tempatnya, di televisyen ada byk lagi sumber dari forum perdana, drama mahupun rencana yg mereka boleh ikut

IPOH MALAY said...

kita.. maksud saya, saya sendiri, menerangkan serba sedikit keindahan al-quran pada bukan islam terutamanya kepada bumiputra sabah sarawak yang ingin tahu..

tetapi penonjolan seumpama ini adalah satu langkah ke belakang..