Tuesday, January 18, 2011

Sejarah Melayu Ipoh 6

Kulup Riau yang mengusahakan lombong bijih timah di Gopeng dan membantu Raja Ismail di Papan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tok Samah, Penghulu Kampar yang mengenakan cukai hasil bijih Gopeng di Kuala Dipang dengan nilai yang tinggi.

Hubungan baiknya dengan menantu Tok Samah, Raja Ismail juga tidak lama kerana Raja Ismail setelah menjadi Sultan bertindak merampas hasil timahnya atas dasar cemburu. Tulisan Frank Swettenham mengenai Kulup Riau menyebut bahawa :

"Keizinan yang diberi Raja Abdullah kepada Raja Ismail untuk membuka lombong di Gopeng membuatkan Raja Ismail cemburu dengan kemewahan yang dikecapi Kulup Riau dan menghantar Raja Ngah dan orang-orangnya untuk menyerang Kulup Riau.."

Kisah Raja Ismail (yang kemudiannya menjadi Sultan) amat unik. Ini kerana dia telah dilantik menjadi Raja Bendahara (Perdana menteri) Perak pada tahun 1851 setelah keturunan Raja Bendahara terdahulu yang selayaknya tidak ada. Jawatan Raja Bendahara juga adalah jawatan yang diperturunkan. Bapa Raja Ismail, Raja Syed Hitam, berdarah raja kesultanan Siak di Sumatera Utara. Ibunya memang berdarah kerabat raja Perak dan merupakan anak Sultan Ahmaddin Shah yang memerintah dari tahun 1786 hingga 1806.

Raja Bendahara bertanggungjawab mempersiapkan keperluan Sultan dan mempunyai hak mengutip cukai di Kuala Kinta. Setiap tahun Raja Bendahara menghantar misi diraja yang dipanggil orang kalur, bermain muzik dan membawa perutusan diraja, mengutip cukai kepala 50 sen.

Selepas Sultan mangkat, Raja Bendahara bertanggungjawab menduduki takhta selama 7 hari sebelum upacara pertabalan Sultan baru yang menjadi Raja Muda sebelumnya, dilakukan.

Raja Ismail menjadi Raja Bendahara untuk 3 orang sultan. Apabila Sultan Ali mangkat pada tahun 1871, Raja Muda Abdullah tidak muncul untuk naik takhta kerana dipermalukan dengan tindakan isterinya lari mengikut Raja yang lain. Ketiadaan Raja Abdullah melayakkan Raja Yusuf untuk menaiki takhta mengikut sistem penggiliran yang melayakkannya menjadi Raja Muda tetapi dia menyerahkan takhta kerana tidak popular.

Atas kesepakatan pihak tertinggi, Raja Ismail diberi tanggungjawab menaiki takhta dan menjadi Sultan Perak ke-25 memakai gelaran Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah.

Tetapi kedudukan Sultan Ismail tidak lama. Oleh kerana banyak aduan tentang kutipan cukai yang melampau di pondok-pondok tol di kuala-kuala sungai dalam kawasan Kinta yang dipengaruhi Sultan Ismail, kekacauan demi kekacauan berlaku. Kesan Perang Larut juga merebak ke Kinta dan perbuatan anarki semakin berleluasa. Akibatnya pedagang negeri-negeri Selat mendesak agar campurtangan British di Perak.

Datuk Panglima Kinta Ke-9, Datuk Zainal Abidin (Uda Bidin) yang mendirikan kota di Pengkalan Pegoh merupakan penyokong kuat Sultan Ismail. Kotanya di Pengkalan Pegoh dibina dengan memotong liku Sungai Kinta dan mewujudkan sebuah pulau dan dibina rumah-rumah di atas pulau tersebut. "Peguh" merupakan bahasa Perak yang menggambarkan sesuatu yang pegun dan teguh.

Sultan Ismail lari bersembunyi dan memasang strategi di Pengkalan Pegoh apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di mana British memilih untuk mengiktiraf Raja Abdullah sebagai sultan yang sah untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Bersambung esok.

2 comments:

Wake UP! said...

Sejarah ni memang bagus untuk dipelajari agar kita tak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh orang yang terdahulu dari kita.

Anonymous said...

layarilah www.freemalaysiakini.com

sebarkan pada rakan dan pembaca anda..percuma