Teman belajor sejarah sampai Form 3 je. Lepas tu teman sambung aliran vokasional. Ralat juga ler. Tapi itu bukan pengakhir segalanya. Jadi teman terpaksa belajor sejarah dengan cara teman sendiri. Tapi, hasil yang teman dapat cukup memahamkan teman tentang segala punca asas kejadian negara yang bernama Malaysia ni.
Teman faham, banyak perkara tidak dapat didedah oleh aliran pendidikan negara ini bimbang ia menjalar ke tafsiran yang bercanggah dengan apa yang difahami oleh rakyat negara-negara jiran.
Tapi sampai bila kita perlu sempitkan tafsiran sejarah ini? Ambil satu contoh sahaja berkait Indonesia. Bila kita menceritakan zaman Kesultanan Melaka hingga zaman KLCC, kita acap kali menyempitkan sejarah kita ke ruang linkup Malaysia kita hari ini selepas tahun 1824, iaitu tahun keramat, terpisahnya rantau Melayu kepada jajahan British dan Belanda usai Perang Napoleon.
Selepas tahun tersebut, kita ibarat terputus satu jilid pengajian Sejarah yang amat penting apabila pengajian Sejarah hanya menumpu kepada pendidikan British semata-mata. Padahal, rakyat masih menganggap rantau Melayu adalah satu. Anggapan ini terbawa-bawa hingga ke abad ke 20 hingga ramai pemimpin Melayu yang menyertai Sumpah Pemuda 1928 di pulau Jawa bagi mewujudkan sebuah negara tunggal untuk umat Melayu hingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa pemersatuan walaupun ketamadunan Jawa menjadi darah daging hampir separuh populasi rantau Melayu.
Lanjutan inilah wujudnya 'pejuang kemerdekaan' berhaluan kiri yang hakikatnya mahu memindahkan kuasa arahan pemerintahan dari London ke Jakarta.
Kerugian yang kita terpaksa tanggung hari ini ialah, bagaimana untuk menerangkan bahawa Melayu penentang British yang dilabel berhaluan kiri dan pro-Jakarta pada ketika itu adalah pengancam paling utama dalam mewujudkan Malaysia hari ini? Penerangan jujur tentu akan menyentuh lagi hati sanubari negara Indonesia yang terkenal berjiwa emosi.
Maka bukankah sekiranya kita mendidik anak bangsa sejarah yang sebenar dan memahamkan mereka bagaimana corak pentadbiran Indonesia pada awal kemerdekaannya yang menghapuskan keistimewaan syariah dan ketinggian Islam yang telah dipertahankan selama beratus tahun sejak usaha keras Wali Songo dahulu, semata-mata mahu berdiri sama tinggi dengan negara Komunis besar iaitu Russia Dan China.
Di situlah anak bangsa akan mengenali lebih dekat lagi negara ini dan adalah mustahil tidak timbul rasa cinta yang mendalam ke atas bumi Malaysia yang jauh mengatasi Indonesia hari ini. Itu baru terkait Indonesia.
Ini bukan penipuan. Ini termaktub dalam sejarah yang tidak dijadikan asas pengetahuan di peringkat sekolah. Tidak SALAH untuk menyebut, sejarah memang perlu ditulis semula.
No comments:
Post a Comment