Tuesday, March 13, 2012

Hampir Dengan Ipoh, Tapi Tiada Bekalan Elektrik

Berikut apa yang telah saya temui dalam Utusan Malaysia hari ini :

Orang Asli Islam terbiar?

MEMBACA sisipan Mega Utusan Malaysia, terbitan Jumaat 9 Mac 2012 mengenai nasib masyarakat Orang Asli membuatkan hati saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini.

Kisah tragis nasib masyarakat Orang Asli selepas diislamkan bukan merupakan episod baru. Masalah ini telah melanda masyarakat Orang Asli sejak puluhan tahun. Walaupun bukan semua, tetapi sebahagian besar mereka diislamkan tetapi kemudian dibiarkan terkial-kial dengan agama baru mereka.

Pihak yang bertanggungjawab ada yang lepas tangan, kalau datang melawat pun, bilangannya boleh dikira dengan jari. Ini bukan tuduhan tetapi hakikat. Saya pernah beberapa kali masuk dan tinggal di kawasan masyarakat Orang Asli sekitar Perak dan Pahang, melalui perbualan dan tinjauan mengenai sejauh mana Orang Asli yang diislamkan diberi bimbingan telah mendengar rintihan dan keluhan yang sama.

...


Ahad lepas, teman melakukan ziarah ke perkampungan orang asli Sungai Choh, yang kalau diikutkan jarak terus merentas bukit, hanya 5 km ke arah tenggara The Lost World of Tambun.

Kemesraan penduduk kampung yang turut didiami oleh orang asli beragama Kristian sepertinya bukanlah menjadi faktor penyebab seorang ustaz yang pernah tinggal di Sg. Choh 'lari' pulang ke kampung halamannya.

Apa yang teman runsingkan ialah, bagaimana kampung yang telah hampir dengan ketamadunan kota itu masih belum mendapat bekalan elektrik! Terdapat papan tanda naik taraf jalan yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar tetapi hanya bertabur 'crusher run' ditempat tertentu. Jika diletakkan Had Muatan 5 Tan, seperti lorong-lorong kampung, mengapa jalan tersebut tidak diturap? Jalan berturap hanya tersedia ditengah kampung. Mungkin 20 tahun lagi agaknya akses ke Sg. Choh diturap sepenuhnya.

Penting sekali ialah bekalan elektrik. Jika tiada bekalan elektrik yang konsisten dan sempurna serta akses yang baik menuju ke Sg. Choh, bagaimanakan aktiviti dakwah dapat dijalankan melalui bidang penyiaran? Apakah yang perlu dibanggakan dengan Malaysia yang maju dan moden sekiranya penempatan yang hampir dengan bandar pun tidak ada bekalan elektrik?

Sungai Choh terletak di DUN Ulu Kinta, Parlimen Tambun yang kedua-duanya diwakili UMNO. Ahli Parlimen Tambun pula Menteri Kewangan Kedua. Di sebelah selatan, melalui laluan balak tinggal yang perlu menyeberangi sungai tanpa jambatan kurang dari 2km, sempadan DUN Simpang Pulai dalam Parlimen Gopeng yang kedua-duanya diwakili PKR.

Jika membawa bekalan elektrik dari Institut Perguruan Ulu Kinta yang merupakan satu-satunya laluan masuk sepanjang 13km itu sukar, bukankah lebih baik masukkan dari Sunway City Ipoh atau Ulu Piah di Ampang Baru yang jaraknya lebih hampir ke Sg. Choh?

Wakil Rakyat parlimen Tambun dan ADUN Hulu Kinta seharusnya bergerak pro aktif dalam memastikan kesejahteraan kawasan ini tidak memberikan peluang kepada anasir pembangkang untuk menyebar hasutan.



Menurut penduduk Sg. Choh, telah kedapatan beberapa pengusaha Cina dan India yang meninjau-ninjau kawasan tersebut yang subur dan berpotensi untuk dibangunkan walaupun kawasan tersebut terletak dalam Hutan Simpan Kekal Bukit Kinta. Di bahagian DUN Simpang Pulai, pembukaan tanah untuk tanaman sayur dan bunga telah dibuat oleh pengusaha Cina dari Cameron Highlands atas restu pihak yang kita ketahui siapa.

No comments: