Wednesday, November 21, 2012

Kecelakaan Treler Rempuh Pekerja Lebuhraya Di Gopeng


Dua dari empat yang cedera merupakan kawan teman. Kami sama-sama tinggal di Taman Perpaduan, Ipoh. Mereka ialah Dino Azmi dan Shafuddin Abd. Jalil. 

Dino Azmi mengalami cedera ringan tetapi Shafuddin Abd. Jalil mengalami patah kedua kaki, tangan kiri dan koyak di kepala dan betis.

Harap agar ada pihak dari Parlimen Tambun jika tidak Menteri Kewangan Kedua sendiri untuk pergi melawat mangsa-mangsa ini terutamanya kedua-dua kawan teman ini kerana mereka 'orang kita' juga. Takziah kepada keluarga mereka yang meninggal dunia dan semoga tabah buat mereka yang tercedera. 


Pekerja Propel dirempuh treler




IPOH: Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi rakan sekerja mereka cedera selepas dirempuh sebuah treler yang membawa muatan coklat di Kilometer 294.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gopeng, awal hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata kemalangan berlaku pada 4.30 pagi ketika lapan pekerja Propel itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lorong kiri lebuh raya berkenaan.


Sebelum itu, treler dari arah Johor Bahru ke Ipoh yang hilang kawalan itu merempuh kereta Proton Iswara, MPV Mitsubishi Triton, van dan lori kecil milik pekerja Propel itu yang diletak di lorong kecemasan sebelum melanggar lapan pekerja terbabit, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Empat pekerja yang maut ialah Ismady Mohd Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah, Shaharuddin Abd Aziz, 51, dari Kuala Kangsar, Mohd Shafie Ismail, 56, dari Taman Shatin, Ipoh dan Hafiz Yunus, 39, dari Kuala Lumpur.



Tiga daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).


Pekerja Propel yang cedera pula ialah Dino Azmi, 36, Azhan Ismail, 44, Mahyuddin Idris, 48, dan Shafudin Abdul Jalil, 31.

Turut mengalami kecederaan ialah pemandu treler yang hanya dikenali sebagai Zulkifli dan kelindannya, Mohd Rozi Mat Sharif, 44.

Kesemua mayat dibawa ke HRPB manakala mangsa yang cedera dihantar ke HRPB dan Hospital Kampar bagi menerima rawatan.

Mohamad Shukri berkata, ketika kejadian, keadaan lokasi berbukit dan pemandu treler itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya semasa menuruni cerun ketika hujan renyai.

Pemandu lori terbabit akan ditahan selepas dirawat untuk siasatan lanjut, katanya. - Bernama

No comments: