IPOH, (Bernama) -- Ketika sambutan Aidilfitri yang sudah menjangkau seminggu lamanya itu terus dirayakan, Masjid Muhammadiah di sini (gambar) turut melakar satu lagi peristiwa bersejarah bagi penganut agama Islam.
Ini dapat dilihat apabila bukan sahaja masyarakat Islam setempat malahan masyarakat Cina yang beragama Islam dari seluruh negara berkunjung ke masjid ini, yang mempunyai persekitaran unik dan indah untuk menunaikan solat.
Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya ini, yang dibina dengan konsep seni bina dan budaya Cina dan melalui proses ubahsuai, juga dikenali sebagai 'Masjid Cina' dalam kalangan penduduk tempatan di samping mencatat satu lagi mercu tanda baru di sekitar bandaraya Ipoh ini.
Masjid yang mengambil sempena masjid lamanya berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd Kassim bersama-sama tujuh rakannya pada Mac 1973.
Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temubual dengan Bernama di Ipoh, berkata masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh.
Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina dan kemudian diterjemahkan ke dalam keseluruhan bangunan terutama bumbung, pagar, dinding, dewan solat yang dapat dilihat menggunakan prinsip simetri dan seimbang.
STRUKTUR BINAAN YANG UNIK
Reka bentuk binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah tanpa dinding di samping sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif Cina berwarna hijau menambah keunikan struktur binaan masjid ini.
Pintu masuk utama berwarna merah yang dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri dan perkataan 'Masjid Muhammadiah' dengan tulisan Melayu di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri.
"Bagaimanapun jika diperhatikan dengan lebih teliti, sebenarnya kita ubah seni hiasan bumbung kerana jika di China, mereka menggunakan motif bunga Teratai tetapi di masjid ini kita gunakan bunga Raya yang berwarna merah, melambangkan bunga kebangsaan," katanya.
Beliau berkata warna cat yang dipilih bagi menghiasi keseluruhan bangunan masjid juga adalah berdasarkan warna utama yang sering dilihat dalam budaya masyarakat Cina iaitu merah, hijau dan putih.
Ruang solat terbuka masjid berkenaan juga dihiasi dengan taman-taman kecil yang dipisahkan oleh laluan ke dewan solat dan ruang aktiviti di bahagian dalam masjid.
PERBEZAAN
Ketika ditanya mengenai perbezaan dengan masjid Cina yang ada di negeri lain, Hafiz Ng berkata jika membuat perbandingan, perbezaan Masjid Muhammadiah dengan masjid Cina lain yang sedia ada akan dapat dilihat secara jelas seperti masjid di Rantau Panjang, Kelantan, seni binanya sedikit bercampur dengan budaya masyarakat Thailand.
Hafiz Ng, yang juga timbalan pengerusi masjid berkenaan, berkata ruang aktiviti dengan konsep terbuka di masjid itu membolehkan umat Islam mengadakan majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya yang menepati syariat Islam.
Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah dan rumah perlindungan, katanya.
"Rumah perlindungan itu bertujuan memberi dan menyediakan tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baharu yang mungkin disisih oleh keluarga," katanya.
Selain itu, katanya dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 anggota jemaah manakala ruang solat di bahagian bawah mampu memuatkan 800 orang.
KUTIPAN DERMA
Pendakwah aktif itu berkata kos bagi peringkat fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan belanja sebanyak RM2.8 juta.
Pada 8 Okt, 2009 Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan senireka bentuk masjid berkenaan.
"Bagi tujuan pembinaan fasa kedua, kutipan derma dan sumbangan mana-mana pihak masih berjalan. Alhamdulillah, semasa kutipan untuk pembinaan masjid semua pihak memberi sokongan yang kuat untuk merealisasi masjid ini dan begitu juga bagi fasa kedua," katanya.
Pendakwah aktif itu menjelaskan bahawa cadangan pembinaan Masjid Muhammadiah ini dibincangkan oleh kedua-dua jawatankuasa pada November 2008 dan ia dapat persetujuan sebelum dimulakan pembinaannya pada Disember 2011.
"InsyaAllah fasa pertama ini akan sempurna dalam tempoh satu bulan lagi. Sekarang kita sedang melaksanakan kerja-kerja perincian terakhir," katanya.
Beliau berkata tujuan pembinaan masjid baharu ini adalah bagi menampung kapasiti umat Islam yang semakin bertambah di kawasan sekitarnya terutama bagi keperluan solat Jumaat.
TEMPAT DAPATKAN MAKLUMAT
"Ia bagi menghimpunkan saudara seagama terutama daripada masyarakat Cina yang segan dan malu untuk pergi ke masjid yang biasa. Masjid Muhammadiah ini membuka peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam," katanya.
Hafiz Ng berkata sesiapa sahaja boleh datang ke masjid ini untuk mendapatkan, merujuk atau bertanya mengenai agama Islam tanpa sebarang halangan dan ia adalah satu tarikan kepada bukan Islam untuk lebih mengenali agama Islam.
"Kita mahu menjadikan masjid ini sebagai satu tarikan kepada pelancongan di Perak. Ramai saudara baharu Islam dan bukan Islam dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur hadir semasa masjid ini mula dibuka pada 4 Ogos lepas," katanya.
Beliau berkata pihaknya hanya mengadakan majlis pembukaan secara kecil-kecilan dengan pelbagai program antaranya gotong-royong, tazkirah, solat maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih.
Walaupun pembinaan masjid masih belum sempurna, jawatankuasa masjid telah bersetuju membukanya untuk memberi kemudahan beribadah kepada umat Islam beribadah semasa bulan Ramadan, katanya.
--BERNAMA

No comments:
Post a Comment