Wednesday, March 12, 2014

Punca Jerebu Mac 2014



Menghairankan. Ketika teman naik pesawat ke Krabi pada 27 Februari lepas, terlihat jelas kebakaran yang berlaku di pinggir barat KLIA dan sehingga teman lihat imej satelit MODIS Aqua 11 Mac 2014 di atas, kebakaran tersebut masih terjadi.

Tidak guna melarang orang ramai membakar secara terbuka dengan ancaman denda sehingga RM100,000 jika kebakaran di sebelah pintu masuk negara yang berlanjutan berminggu-minggu itu belum pun dipadamkan.

Jerebu kali ini tidak boleh dipertundingkan ke masalah kebakaran di Riau yang ternyata sudah terlalu kritikal. Mujur sahaja angin tidak bertiup dari sana pada masa ini. Jika tidak, IPU dengan mudah boleh mencecah 500.

Jerebu yang berlaku di Semenanjung kali ini berpunca dari kebakaran dalam negara dengan punca terbesar dari negeri Pahang iaitu kebakaran di kawasan Muadzam Shah, Pekan dan Gambang di mana asap kebakaran tersebut dalam cuaca kering ini bergerak sehingga 300 km ke sebelah barat dan menyelimuti Lembah Klang pada ketika tertentu.

Selangor mencatatkan kebakaran besar di sekitar Banting dan Hulu Selangor dengan asap memasuki Selat Melaka, menambah lagi kepekatan jerebu di wilayah Riau walaupun dalam kadar yang nipis berbanding dengan kebakaran yang tercetus di sana.

Juga, berlaku kebakaran di beberapa kawasan terpencil di pantai timur Johor yang turut menyumbang jerebu di sana.

Janganlah terlalu menunjukkan kita tidak berdaya dalam menangani krisis ini yang mencetus masalah kesihatan kepada jumlah masyarakat yang rawan kepada penyakit yang berpunca kepada kemerosotan kualiti udara. 

Adakah hanya jika jerebu tebal menyelimuti 24 jam, barulah tindakan tergesa-gesa diambil?



No comments: