PULAU PINANG 28 April - Sebanyak 44 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di negeri ini hari ini merancang membentuk sebuah parti politik baharu dikenali sebagai Penang Front Party (PFP) bagi menentang DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.
Pengerusi Penaja parti itu, Datuk Go Chui Tiong berkata, gabungan NGO daripada pelbagai latar belakang termasuk pendidikan, perniagaan dan kebajikan tersebut ketika ini mempunyai lebih 4,000 ahli.
Tambah beliau, pihaknya akan menyerahkan dokumen pendaftaran parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini dan akan bertanding atas tiket Bebas sekiranya tidak sempat diluluskan ROS menjelang PRK Bukit Gelugor.
Menurutnya, keputusan membentuk PFP sebagai alternatif kepada masyarakat Cina di negeri itu dibuat selepas DAP berdepan pelbagai isu yang gagal ditangani menyentuh mengenai kepentingan serta kebajikan rakyat.
Antaranya, tambah Chui Tiong, isu pembinaan projek-projek mewah yang hanya disasarkan kepada golongan kaya, kenaikan tarif air dan pelbagai bayaran cukai tidak munasabah yang membebankan rakyat.
Kerajaan DAP Pulau Pinang juga, kata beliau, tidak memainkan peranan dalam menyediakan peluang pekerjaan baharu sehingga menyaksikan kadar pengangguran di negeri ini semakin meningkat.
"Lebih daripada itu, penubuhan PFP juga bermatlamat menyelamatkan Pulau Pinang daripada terus menjadi alat politik kepada pemimpin DAP dalam mencapai kepentingan peribadi mereka.
"Kita juga akan memastikan negeri ini suatu hari nanti dipimpin oleh anak jati Pulau Pinang sendiri yang lebih prihatin serta sedar dengan tanggungjawab memajukan rakyat serta negeri ini, bukannya ditadbir oleh orang luar," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Menurut Chui Tiong, parti itu yang memilih menjadi pro-Barisan Nasional (BN) akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.
Katanya, tiga nama setakat ini sudah disenarai pendek dan sekiranya diterima masyarakat Cina di negeri ini, parti tersebut akan meletakkan calon di kesemua kerusi yang dimenangi DAP dalam pilihan raya umum akan datang.
Ditanya mengapa baru sekarang memilih untuk menubuhkan parti baharu, Chui Tiong berkata, kesemua NGO itu menunggu masa sesuai dan PRK Parlimen Bukit Gelugor dilihat medan terbaik dalam membuka mata Kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa banyak pihak tidak sealiran dengan corak pentadbiran mereka.
Berhubung keyakinan dalam mendapatkan sokongan masyarakat Cina terutama di kubu kuat DAP di Bukit Gelugor, beliau menambah, mereka mempunyai keyakinan tinggi diterima pengundi memandangkan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini lemah.
"Apa yang dibuat Kerajaan DAP Pulau Pinang hanyalah menjual tanah negeri ini untuk membina rumah-rumah mewah kepada golongan kaya dan pembeli luar negara sedangkan ramai penduduk asal masih tidak mempunyai kediaman sendiri," katanya.
Artikel Penuh: UTUSAN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment