Thursday, July 10, 2014

Jokowi Presiden Indonesia : Satu fenomena yang luar biasa



Joko Widodo (53) atau lebih dikenali sebagai Jokowi merupakan individu yang tiba-tiba masyhur di persada politik Indonesia. Menerusi kiraan cepat, satu kaedah pengiraan awal yang dibuat sebelum kertas undi di hantar ke ibu pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (Komisi Pemilihan Umum) di Jakarta, Joko Widodo mendahului dengan perbezaan sebanyak kira-kira 9 juta undi dari jumlah 137 juta undi dari pengundi yang keluar memilih Presiden baru mereka.

Ia merupakan pilihanraya presiden ketiga yang dilangsungkan di Indonesia bermula pada tahun 2004 di mana Susilo Bambang Yudhoyono memenanginya pada tahun 2004 dan 2009 dan tidak boleh lagi bertanding untuk tahun ini atas syarat hanya 2 penggal dibolehkan.

Jokowi menjadi ikon yang popular secara mendadak di dunia apabila ia dinamakan sebagai antara 50 Pemimpin Paling Berpengaruh Di Dunia pada awal tahun ini.

Sembilan tahun lalu, pada tahun 2005, Jokowi, seorang usahawan perabot, marmar dan hartanah kecil-kecilan memenangi jawatan Datuk Bandar Solo dan sepanjang 7 tahun menjawat jawatan tersebut, dia telah melakukan banyak sekali perubahan. 

Kehebatannya membuatkan dia dicalonkan oleh partinya PDI-P pimpinan Megawati Sukarnoputri untuk mencalonkan diri menjadi Gabenor Jakarta dan buat pertama kali dalam sejarah, dia memenanginya dan menjadi orang luar Jakarta yang pertama menjadi Gabenor Jakarta. Dia malah tidak mempunyai rumah di Jakarta dan hanya mendiami rumah jabatan.

Berbagai perubahan cuba di bawa oleh Jokowi seperti menyegerakan projek MRT dan Monorel termasuk cadangan membina terowong ala SMART di Kuala Lumpur untuk Jakarta tetapi masalah berlaku apabila karenah birokrasi di peringkat pusat menyukarkan pembangunan Jakarta yang lebih moden.

Akibat dari itu, dia yang pada mulanya enggan melayani saranan-saranan supaya popularitinya itu dimanfaatkan untuk dicalonkan menjadi Presiden Indonesia ke 7 pada pemilihan 2014, akhirnya maju ke hadapan untuk menjadi calon demi menyelesaikan berbagai masalah dan karenah birokrasi yang pernah dilaluinya semasa menjadi Gabenor Jakarta.

Hari ini, berdasarkan kiraan cepat yang mempunyai margin ralat kurang dari 1%, Jokowi mengungguli lawannya Prabowo Subianto dengan memperolehi kira-kira 52% undi.  Walaubagaimanapun keputusan rasmi hanya diketahui pada 22 Julai setelah semua kertas undi dikira semula di ibu pejabat KPU.

Selain mendapat sokongan rakyat yang berpendapatan rendah dan mengharapkan pembelaan, Jokowi banyak disokong oleh kelompok bukan Islam di Indonesia atas dasar-dasarnya yang sederhana, menjadi tokoh rakyat yang bergandingan dengan tokoh ketenteraan yang menyebabkan banyak undi diterima olehnya. 

Jokowi telah menjadi inspirasi banyak pihak atas dasar-dasarnya yang sederhana dan berhati santai dalam melayani karenah media. Lebih dari itu, dia dikagumi kerana dalam tempoh 9 tahun memasuki persada politik, dia kini hampir menjadi Presiden Indonesia.

Fenomenanya membuatkan Tun Mahathir menemuinya pada 14 April 2014 untuk mengucapkan selamat bertanding dan berharap semoga kemenangan berpihak kepada Jokowi sembari menghadiri seminar yang menjemput kehadirannya di sana.

Mengapakah penulis dan separuh lagi rakyat Indonesia tidak menggemari Prabowo Subianto? Akan dirungkaikan selepas ini dan jika pembaca tidak sabar untuk mengetahuinya, sila Google.


Jokowi melawat Monorel Bukit Bintang (2013)

2 comments:

Anonymous said...

keberanian rakyat indonesia memilih satu perubahan dengan penuh aman dan terkendali ini bakal membuatkan bangsa indonesia lebih dihormati.

Anonymous said...

Diharap gandingan Jokowi-Yusuff Kalla akan membawa Indonesia lebih maju. Anwar takde harapan nak tipu rakyat Indonesia la kalau Yusuff Kalla menjadi Timb. Presiden Indonesia nanti... silap2 kene tendang macam di Jepun tempoh hari...