Wednesday, September 17, 2014

Firefly dengan laluan baru Ipoh - JB , promosi RM119 sehala

Bagi warga Ipoh yang bekerja di Johor Bahru, yang terhubung lebuh raya sepanjang  520 km, ada berita baik apabila syarikat penerbangan Firefly melancarkan penerbangan Ipoh - Johor Bahru yang beroperasi 4 kali seminggu.
Untuk ke JB , penerbangan berlepas dari Ipoh pada jam 12:05 tengah hari manakala dari JB ke Ipoh berlepas jam 10:20 pagi pada setiap Rabu, Jumaat, Ahad dan Isnin.

Tambang promosi RM119 sehala masih diberlakukan. 

Untuk rekod, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (IPH) selain itu hanya menyediakan layanan penerbangan 2 kali sehari ke Singapura. Air Asia pernah menyediakan perkhdmatan Ipoh - JB pada tahun 2005 tetapi diberhentikan atas sebab-sebab tertentu.



Penerbangan JB-Ipoh

JOHOR BAHRU 16 Sept. - Syarikat penerbangan komuniti, Firefly terus mengorak langkah dengan memperkenalkan laluan baharu dalam negeri dari Johor Bahru ke Ipoh, Perak bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Ipoh merupakan destinasi ketiga selepas syarikat penerbangan itu melancarkan penerbangan Johor Bahru-Subang dan Johor Bahru-Kota Bharu sebelum ini.
Beliau berkata, penerbangan dari Johor Bahru ke Ipoh yang memakan masa kira-kira satu jam 25 minit itu dijadual pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dengan menggunakan pesawat ATR 72-500 yang boleh membawa seramai 72 penumpang.
"Pembukaan laluan baharu berkenaan dilihat berpotensi memperkembangkan pasaran pelancongan di negeri ini selain dilihat mampu merangsang aktiviti pelancongan terutama bagi memikat pelancong dari utara tanah air ke Johor.
"Dengan laluan penerbangan yang baharu ini, kita yakin boleh mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 3.5 juta pada tahun ini," katanya kepada pemberita di balai ketibaan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), dekat sini semalam.
Siew Kiong berkata demikian sebelum bersama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Dr. Badrul Hisham Kassim menyambut ketibaan 62 penumpang dari Ipoh yang menggunakan penerbangan tersebut.
Yang turut hadir Pengarah Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Johor, Mohd. Isa Abdul Halim; Pengarah Tourism Malaysia Johor, Edzuar Zar Ayob Azari dan Ketua Pegawai Eksekutif FireFly Johor, Khairul Anuar Daud.

No comments: