Khamis, Jun 12, 2008

Konsistensi Kerajaan Dituntut

Utusan Malaysia, Khamis, 12 Jun 2008
Minyak tidak naik lagi - Bagi kurangkan beban rakyat walaupun cecah AS$200 setong – PM

Oleh ROSNI HASSAN DAN
HERMAN HAMID

PUTRAJAYA 11 Jun – Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini walaupun harga minyak di pasaran dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi mengurangkan beban rakyat kerana kerajaan sedar rakyat sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi.

“Harga petrol dan diesel sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong pada tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter dan ia merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelum itu.

Harga diesel pula turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.

Perdana Menteri memberi jaminan harga petrol dan diesel itu akan dikekalkan walaupun ia mungkin akan menimbulkan kesukaran kepada pengurusan kewangan kerajaan memandangkan harga minyak terus meningkat.

“Kerajaan kena cari kaedah-kaedah lain untuk tanggung perbelanjaan tambahan melainkan kalau ada sebab-sebab lain yang perlu kita pertimbangkan semula, tapi sebagai satu keputusan waktu ini, itulah yang telah pun ditetapkan,’’ katanya.

Abdullah memberitahu, pada masa ini kerajaan tidak akan menyemak semula harga petrol dan diesel secara bulanan berdasarkan harga minyak di pasaran dunia.

Beliau berkata, harga minyak mentah amat tinggi ketika ini sehingga AS$139 setong minggu lalu dan kini masih berada pada paras melebihi AS$130.

Ketika kerajaan mengumumkan harga baru bahan api itu pada 4 Jun lalu, harga petrol RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter ditetapkan berasaskan harga minyak di pasaran dunia sebanyak AS$125 setong.

Kenaikan 78 sen seliter bagi petrol dan RM1 bagi diesel masing-masing merupakan peningkatan 40 dan 63 peratus daripada harga asal RM1.92 dan RM1.58 seliter.

Menurut Abdullah, dengan harga semasa minyak mentah AS$130 setong, ini bermakna harga sebenar pasaran petrol telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

Minggu lalu, Abdullah berkata, subsidi bahan api masih diberikan dalam bentuk diskaun 30 sen kepada pengguna, tetapi harganya akan diselaraskan setiap bulan mengikut harga pasaran minyak.

Kalau harga pasaran petrol pada harga RM3 seliter, misalnya, kerajaan akan menentukan harga minyak dengan memberi pengurangan 30 sen.

Maknanya harga yang perlu dibayar pengguna ialah RM2.70 walaupun harga sebenar petrol ialah RM3.

Perdana Menteri menjelaskan, sekiranya kerajaan mengamalkan subsidi 30 sen seliter, berdasarkan harga minyak AS$130 setong, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai dengan harga sebenar RM3.45 seliter.

Keputusan Kabinet hari ini bermakna semakan harga setiap bulan itu ditangguhkan dan menunjukkan kesediaan kerajaan menanggung subsidi bahan api yang lebih besar.

Ditanya sama ada keputusan Kabinet untuk terus menanggung subsidi minyak tanpa mengira berapa harga minyak di pasaran dunia itu akan menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap akan memperoleh pendapatan lebih daripada syarikat minyak negara, Petronas.

Menjawab soalan lain, Abdullah menjelaskan, harga petrol dan diesel sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia merudum.

“Kalau harga minyak dunia turun, kita boleh guna kaedah 30 sen yang didiskaunkan daripada harga petrol dan diesel sebenar,’’ ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sedang memikirkan langkah-langkah tambahan yang boleh dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat.

“Hari ini pun kita umumkan langkah-langkah baru yang akan meringankan bebanan kakitangan awam dan rakyat.

“Itulah yang kita usahakan selalu sebab kita tahu kenaikan harga minyak itu memanglah tinggi dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,’’ kata beliau.

Analisis

Seluruh rakyat Malaysia hari ini, dengan penuh skeptikal meragui kerajaan yang memerintah kerana kerajaan Malaysia semakin terkenal dengan pendirian mereka yang goyah dan berubah-ubah.

Mula-mula sekali ialah berkenaan larangan kenderaan asing mengisi minyak sekitar kurang 50km dari sempadan yang mana selepas harga bahan api dinaikkan, larangan tersebut ditarik balik.

Keduanya apabila kerajaan mengumumkan kajian terhadap harga bahan api yang sedang dilakukan memungkinkan harga bahan api dinaikkan pada bulan ogos tetapi berakhir dengan pengumuman kenaikan bahan api hidrokarbon SEHARI kemudian.

Kali ini rakyat tidak percaya lagi tentang pendirian kerajaan berhubung isu minyak. Rata-rata rakyat berpendapat, sebarang jaminan kerajaan berhubung isu minyak hanyalah satu pendirian yang rapuh dan mungkin dusta semata-mata.

Apa yang telah berlaku hari ini? Ramai rakyat tertanya-tanya. Jawapan masih belum dimuktamadkan. Apakah yang tidak kena kepada kerajaan? Setelah dibadai tsunami politik 8 Mac 2008, kerajaan persekutuan semakin tidak konsisten. Kerajaan telah menghilangkan saki-baki keyakinan rakyat pada keseluruhan jentera pentadbiran.

Bukan isu harga minyak yang dipertikaikan oleh rakyat umumnya. Apa yang dipertikaikan ialah betapa kerajaan semakin terang-terangan menipu rakyat dengan pendirian-pendirian yang tidak konsisten dan menindas secara terang-terangan.

1 ulasan:

fahlavee berkata...

kerajaan sebenarnya berusaha nak bantu rakyat dengan bagi itu dan ini. kita jgn lah pula cepat melenting dengan kenaikan harga minyak ni.kita boleh hidup berjimat..jgn nak di bandingkan dengan harga minyak negara pengeluar minyak yang lain..stok kita jauh lebih sedikit berbanding negara lain..lagi pon penggunaan minyak kita jauh lebih tinggi dengan kenderaan thailand dan singapore yang isi minyak bagai orang kebuluran, jumlah kenderaan di malaysia sendiri pon berjuta2 banyaknya..

walaupon perit untuk ditelan, aku setuju harga minyak naik sekiranya ia dapat membantu untuk menampung kos memajukan sektor2 pertanian dan membantu penduduk luar bandar..

kita hanya memandang isu harga minyak naik..tapi kita tak melihat secara keseluruhan...kerajaan memberi rebet tunai, hapuskan cukai dan sebagainya..keuntungan minyak nnti akan digunakan untuk memajukan sektor pertanian dan pelbagai sektor lagi..
sekarang ni pon program giat mara ditaja petronas,universiti petronas walaupon swasta tetapi petronas masih menanggung sebahagian kos study kepada pelajarnya, melatih individu yang gagal spm untuk mahir kemahiran perkimpalan, melatih individu di institute petronas di terengganu dan menaja sekolah2 berpotensi selain menaja pelajar cemerlang adalah sebahagian aktiviti yang dilaksanakan petronas untuk membantu masyarakat..itu hanya sebahagian sahaja..ada byk lagi keuntungan petronas disalurkan kepada perkara2 yang lebih berfaedah berbanding hanya untuk memberi subsidi minyak