Saturday, July 05, 2008

Datuk Bandar Yang Baru

Utusan Malaysia, Sabtu, 5 Julai 2008

Roshidi dilantik Datuk Bandar Ipoh kelapan

IPOH 4 Julai - Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Roshidi Hashim (gambar) dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh kelapan berkuat kuasa 1 Julai lalu, sekali gus menamatkan spekulasi ia akan dijawat oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M. Kulasegaran.

Roshidi, 52, menggantikan Datuk Bandar Ipoh ketujuh, Datuk Mohamad Rafiai Moktar yang bersara bulan lepas.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Selain Kulasegaran, antara nama lain yang pernah dikaitkan dengan jawatan itu ialah Pegawai Daerah Hulu Perak, Datuk Abdul Karim Osman.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Kor Ming berkata, walaupun Roshidi pernah menjadi setiausaha sulit bekas Menteri Besar yang lalu, beliau merupakan calon paling sesuai kerana mempunyai kredibiliti dan bertanggungjawab.

Katanya, Roshidi berpengalaman selama 16 tahun sebagai pegawai pendakwa Badan Pencegah Rasuah dan pemilihannya selaras dengan imej kerajaan negeri yang berusaha membanteras rasuah.

''Ini merupakan satu penghormatan kepada penjawat awam dan tidak ada alasan lagi bagi mana-mana kakitangan awam untuk tidak memberi komitmen 100 peratus kepada kerajaan negeri," katanya di sini hari ini.

Kor Ming yang juga Ketua Pemuda DAP berharap, pelantikan Roshidi akan menamatkan pelbagai spekulasi dan tohmahan terhadap kerajaan campuran negeri Perak yang sebelum ini didakwa akan melantik Kulasegaran ke jawatan itu.

''Kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi kepada Roshidi yang telah lebih dua tahun menjawat jawatan setiausaha MBI untuk mengembalikan kegemilangan bandar raya Ipoh sebagai bandar raya paling bersih," katanya.

Sementara itu, Roshidi berkata, sehingga kini beliau belum menerima surat pelantikan rasmi daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun kata beliau, pelantikannya sebagai Datuk Bandar Ipoh telah dimaklumkan secara lisan oleh Kor Ming pada pukul 3 petang ini.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas pelantikan ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Ramly Zahary pula ketika dihubungi berkata, UMNO Perak mengalu-alukan pelantikan Roshidi dan berharap beliau mampu memberikan imej baru kepada Ipoh.

''Saya berharap dengan pengalaman yang ada termasuk semasa bertugas di Pejabat Menteri Besar Perak, beliau dapat membawa pentadbiran MBI secara professional," katanya.

Beliau juga meminta Datuk Bandar Ipoh itu supaya meneliti aspek pemilikan harta semua kaum di bandar raya ini supaya tidak ada kaum tertentu tercicir dan perlu selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ulasan

Tahniah diucapkan kepada beliau dan semoga beliau tahu apa tanggungjawab beliau sebagai seorang Melayu Islam dalam membangunkan Ipoh yang dicintai.

1 comment:

Emas Perak said...

Kami setuju dan kami sokong. Cuma kami berharap agar Datuk Bandar ini menjadi bebas dan tidak boneka.

Nampaknya Kerajaan Campuran semakin gusar dengan kebangkitan Orang Melayu di Perak akhir-akhir ini. Kerana itulah agaknya Roshidi dipilih.

Tahniah kepada semua pejuang Melayu teruatama para bloggers Melayu di Perak.