Thursday, October 30, 2008

Tambang Ipoh - KL RM10.00

Utusan Malaysia, Khamis, 30 Oktober 2008

Tambang RM10, kereta api KL-Ipoh bermula 1 Dis.

KUALA LUMPUR 29 Okt. –Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan perkhidmatan kereta api Kuala Lumpur - Ipoh bermula 1 Disember ini dengan tambang RM10.

Pengarah Urusan KTMB, Abd. Radzak Abd. Malek berkata, perkhidmatan KL-Ipoh itu akan mengambil masa dua jam 56 minit dengan jadual perjalanan 10 kali sehari iaitu lima kali (KL-Ipoh) dan lima kali (Ipoh-KL).

“Berikutan KTMB pada masa ini hanya mempunyai 22 perkhidmatan kereta api antara bandar sehari, pihak pengurusan akan menambah 10 tren ulang-alik pada 1 Disember ini.

“Perjalanan kereta api ini akan melalui sembilan perhentian komuter antaranya Sungai Buloh, Sungkai, Tanjung Malim dan Batu Gajah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan KTMB ke arah persijilan MS1722 iaitu sijil piawaian Sistem Pengurusan Pekerjaan, Keselamatan dan Kesihatan (OSHMS) dan seminar kepada kakitangan KTMB di sini hari ini.

Abd. Razak berkata, KTMB yang sentiasa mementingkan mutu perkhidmatan terbaik kepada pengguna akan memperkenalkan perkhidmatan tren pantas KL-Ipoh pada 2010.





Ulasan

Usaha KTMB ini amat dialu-alukan terutamanya pada pandangan golongan seperti saya yang sentiasa berulang alik antara Ipoh dan Kuala Lumpur. Tambahan pula, prasarana bagi landasan elektrik berkembar Ipoh- KL yang mula dibina pada tahun 2000 telahpun siap sepenuhnya. Cuma perolehan unit keretapilaju yang masih belum selesai. Dikatakan, keretapi laju Ipoh-Rawang akan mula beroperasi pada tahun 2010. Sebuah projek paling lama untuk disiapkan di Malaysia. 10 tahun!

Walaubagaimanapun, tambang RM10.00 antara Ipoh dan KL merupakan satu kadar tambang murah yang amat-amat menguntungkan pengguna. Ini kerana tambang bas Ipoh-KL hari ini mencapai RM17.00 termasuk surcaj diesel. Dengan perjalanan yang memakan masa 3 jam tepat dan tambang RM10.00 ia merupakan pilihan terbaik berbanding bas ekspres yang boleh mencapai 4 jam sekiranya berlaku kesesakan jalanraya.

No comments: