Bagaimanapun setakat ini belum ditentukan stadium mana yang akan digunakan tetapi tarikh pada 9 Julai ini tidak berubah.
Jawatankuasa  itu yang terdiri daripada pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Sasterawan  Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid  Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, petang  tadi.
Menurut Ambiga, pada sidang media selepas pertemuan itu, pihak jawatankuasa BERSIH 2.0 berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Ditanya wartawan sama ada tindakan itu satu bentuk tolak ansur, Ambiga menjawap 'Ya".
Sebelum ini, sumber yang rapat dengan pihak penganjur, memberitahu Malaysiakini tidak ada ahli politik yang menyertai pertemuan berkenaan.
Sejak  jam 1.30 petang, ketiga-tiga pemimpin itu menunggu di pondok pengawal  menanti untuk masuk sebelum dibenarkan berbuat demikian pada jam 1.55  petang tadi.
Kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk Istana negara.
Ahad  lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat  berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta  supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada  negara.
Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.
Titah  Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat  negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan  sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan  atas apa jua alasan pun.
Sehubungan dengan titah itu,  Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO,  akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka. (malaysiakini)
No comments:
Post a Comment