Friday, September 28, 2012

Stesen Keretapi Jalan Sultan - Sejarah Kuala Lumpur Yang Hilang

Kepesatan kota Kuala Lumpur yang baru berusia tidak lebih 150 tahun adalah antara yang terpantas di dunia. Akibatnya, banyak sejarah lama yang hilang begitu sahaja tanpa jejak sehinggakan tidak pernah terlintas di kepala generasi muda hari ini tentang kewujudan sebuah stesen keretapi di tepi Pudu Sentral , lebih tepatnya di atas jalan di hadapan Ancasa Hotel hari ini.

Stesen Keretapi Jalan Sultan atau dikenali Sultan Street Station siap dibina pada 1 Jun 1893. Ia stesen keretapi kedua,  terletak di jajaran keretapi menuju ke selatan semenanjung. Laluan keretapi ini kemudiannya melalui Stesen Keretapi Pudu , kemudian Stesen Keretapi Sungai Besi sebelum terus ke Kajang dan ke selatan semenanjung.

Rentasan dari jalur laluan Kuala Lumpur - Klang ke Sultan Street Station dibina di atas tambakan sebatang anak sungai yang mengalir dari kawasan Bukit Bintang ke kawasan di mana letaknya Pasar Seni hari ini. Di kiri kanan landasan tersebut di bina jalanraya dan beberapa lintasan dan jalan tersebut dinamakan Foch Avenue.

Tidak sampai 30 tahun, Foch Avenue menjadi laluan utama di selatan bandar Kuala Lumpur sehinggakan ia memaksa laluan keretapi yang telah melahirkan jalan tersebut ditutup sehingga ke Sultan Street Station bagi tujuan pelebaran Foch Avenue yang kini dikenali Jalan (Tun Tan) Cheng Lock.

Hanya pada 1913 , laluan keretapi ke Klang di sambung ke laluan keretapi ke selatan dari Seputeh ke Salak South. Sementara keretapi bagi perjalanan ke selatan telah menggunakan laluan pintasan Seputeh - Salak South, Sultan Street Station diubahsuai menjadi lebih kecil sebagai stesen penamat bagi perkhidmatan laluan Ampang - Pudu - Kuala Lumpur di mana laluan dari Pudu ke pekan Ampang juga siap pada tahun 1913.

1889

1895

1950

Stesen Keretapi Jalan Sultan 1910

Stesen Keretapi Jalan Sultan 1955


Perkhidmatan keretapi railcar diperkenalkan bagi tujuan pengangkutan awam antara Sultan Street Station ke Stesen Keretapi Ampang. Pada Februari 1964, perkhidmatan berlokomotif diesel untuk pengangkutan penumpang dari Sultan Street Station ke Ampang pula diperkenalkan. Namun perkhidmatan ini ditamatkan beberapa tahun kemudian apabila pelebaran sambungan Jalan Pudu dan Jalan Cheng Lock dibina yang memaksa Sultan Street Station dirobohkan.

Hari ini, tiada kesan tinggalan Sultan Street Station tersisa mahupun legasi kewujudannya. Mungkin sebab itulah suatu masa lalu, pekedai-pekedai di Chinatown membantah laluan MRT bawah tanah di bawah premis mereka dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor mencadangkan laluan keretapi 'purba' yang merentasi Jalan Cheng Lock dihidupkan semula sama ada di atas mahupun di bawah tanah.


Stesen Keretapi Jalan Sultan 1955

Bandingan dahulu dan sekarang







2 comments:

Anonymous said...

Thanks for sharing

Anonymous said...

Thank you for your kind sharing.