Pernah diura-urakan bahawa kerajaan Malaysia berinisiatif untuk menghapuskan hukuman mati selaras dengan perubahan dunia dan kemajuan kemanusiaan. Semalam, 10 Oktober merupakan Hari Anti-Hukuman Mati Sedunia.
Sehubungan itu, ia juga dijadikan kesempatan terbaik oleh pihak yang menentang mahupun menyokong kerajaan untuk menggesa hukuman mati dihapuskan atau digantikan dengan hukuman lain yang tidak melibatkan pengambilan nyawa seorang manusia oleh seorang manusia yang lain.
Tuntutan ini tidaklah berpaksikan mengikut Barat semata-mata yang masih menjunjung hukuman mati di kerusi elektrik, disuntik dan terpopular, hukuman gantung ke atas Saddam Hussein sampai tercabut kepala, tetapi ia berdasarkan naluri kemanusiaan dan keagamaan yang jelas memihak kepada nilai-nilai manusiawi.
Jika diikutkan dalam hukum Qisas sekalipun, terdapat opsyen untuk keluarga mangsa bunuh diberi ganti rugi wang tunai bagi mengelakkan si pembunuh dihukum bunuh. Pampasan yang masuk akal, yang tidak bertemakan 'nyawanya tidak ternilai dengan wang ringgit'.
Begitu juga pesalah-pesalah narkotik yang 'dibunuh' dek kerana sesuatu yang boleh dihukum dengan penjara 30 tahun atau setaranya. Pengambilan nyawa manusia sememangnya tidak dibenarkan dalam agama melainkan berdasarkan hukum Qisas yang masih mempunyai opsyennya tersendiri.
Maka dengan itu, teman juga mengharapkan kerajaan memerintah hari ini terus peka terhadap tuntutan zaman yang semakin berubah dan hukuman-hukuman zaman feudalisma total seharusnya dianggap sebagai sejarah lampau yang tersimpan di arkib kemanusiaan.
No comments:
Post a Comment