Sunday, April 28, 2013

Edisi Santai : Kalaulah Semua Negeri BN Menang, Kerajaan Pusat PR Menang.



Kadang-kadang terfikir juga bagaimana jika rakyat Malaysia telah masuk ke fasa penilaian pengundian tahap tertinggi. Contohnya bersifat anti kerajaan negeri tetapi sayangkan kerajaan pusat. Maka akan ada segolongan besar pengundi yang mengundi pembangkang untuk DUN manakala mengundi parti pemerintah untuk Parlimen.

Apa akan jadi sekiranya kesemua negeri di Malaysia dimenangi oleh Pakatan Rakyat manakala kerajaan persekutuan pula dimenangi Barisan Nasional? Apa akan jadi pula jika sebaliknya? Kesemua negeri bersih dimenangi oleh BN tanpa satu pun terlepas ke tangan pembangkang, tetapi kerajaan persekutuan didirikan oleh Pakatan Rakyat?

Ini antara kuasa Allah jika Dia berkata jadilah, maka jadilah.

Sehubungan itu, adalah tidak Islamik jika seseorang Islam merasakan dirinya sebagai manusia mampu menyeru jadi, maka akan terjadi. Menyebut kita akan menang, kita pasti menang, kuasa rakyat bersama kita, sehingga ke tahap menakut-nakutkan dengan ancaman penjara ke atas pihak yang mereka sedang berusaha untuk kalahkan.

Cukup buruk apabila angan-angan mereka yang berbeza-beza, digabungkan bagi kempen memburukkan pemerintah tanpa henti selama lima tahun dan meninggalkan hasil kerja mereka sebagai wakil rakyat pada tahap boleh dipertikaikan.

Lebih hina apabila ada manusia yang kononnya terpelajar, gagal menggerakkan cara yang betul dalam mengubah sesebuah kerajaan memerintah melainkan memilih bersekongkol dengan puak yang menggerakkan penentangan berdasarkan fitnah dan hasutan ini.

Layakkah puak yang tidak mempelajari duduk bangun negara ini yang dasar-dasarnya dibuat atas usaha menang-menang, penuh kerumitan selama hayat kemerdekaannya, diangkat menjadi Yang Berhormat?

Jika kita mengambil masa 56 tahun untuk sampai ke saat ini, kita akan mensia-siakan segala rundingan  menang-menang untuk semua selama tempoh tersebut demi membina sebuah negara baru dengan dasar-dasar baru yang akan mengambil masa beberapa tahun pula bagi diperelokkan.

Hudud PAS dan Sekular DAP adalah contoh krisis utama yang menanti negara seandainya Pakatan Rakyat menang.

Kita boleh yakin Pakatan Rakyat mampu menjana ekonomi. Cuma tidak yakin bila.  Mereka perlu mengambil masa beberapa tahun untuk bercakaran soal undang-undang sekular dan undang-undang hudud, sebelum negara menghadapi depresi ekonomi akibat jatuhnya tahap kondusif dalam pelaburan ke atas negara ini hasil 'perang dingin' antara kelompok Muslim dan bukan Muslim dalam soal ini sehinggakan IMF diberikan permaidani merah untuk masuk setelah gagal pada tahun 1997. 

Sedarlah bahawa walaupun Selangor merupakan negeri yang mempunyai urusniaga perdagangan tertinggi di negara ini sekalipun tidak mampu membuat untung tanpa ekonominya disangga oleh kemasukan pelaburan luar negara.

Akibatnya mungkin sahaja berlaku keadaan contohnya keperluan harian orang Muslim berhadapan kendala sabotaj memandangkan ianya dikuasai bukan Muslim yang berkonfrontasi dengan umat Muslim yang bertegas mahu melaksanakan hudud.

Hudud adalah undang-undang Allah ke atas manusia bagi dijadikan dasar undang-undang sekiranya Dia menghendakkan manusia dalam keadaan kacau-bilau dan anarkis disebabkan lumpuhnya penguatkuasaan undang-undang gubalan manusia akibat contohnya bencana alam atau peperangan.

PRU13 mungkin memberi jawapan keputusan yang diluar jangkaan. Ia diakibatkan oleh kempen politik tanpa henti yang berlarutan dari PRU12 dan memberi kesan ke atas pemikiran setiap lapisan masyarakat.

Tangan pengundi yang diajar bersifat eksperimental oleh penentang pemerintah mungkin menghasilkan sesuatu yang tidak pernah kita alami sebelum ini. Hal ini tidak mustahil kerana corak imbangan undian di kebanyakan DUN dan Parlimen di Malaysia adalah 6 : 4 . Ini bermakna, berbagai kemungkinan boleh terjadi.

Maka Dia lah yang berhak lagi maha berkuasa untuk berkata jadi, maka jadilah. Bukan pemuka-pemuka politik.

No comments: