Tuesday, May 14, 2013

SJK punca jurang antara kaum


SEPERTI yang terbukti pada PRU-13 yang baru lalu, polarisasi atau jurang antara kaum menjadi semakin membimbangkan. Saya percaya di antara punca perkara tersebut adalah kecenderungan menghantar anak-anak belajar di sekolah jenis kebangsaan.

Ironinya, para pemimpin politik pelbagai bangsa sering melaung-laungkan konsep 1Malaysia dengan menekankan integrasi antara kaum sebagai satu bangsa Malaysia.

Malangnya anak-anak yang masih 'hijau' dan boleh dibentuk (seandainya kita semua ikhlas mahu menjayakan konsep 1Malaysia tersebut) dihantar untuk memulakan perjalanan ilmu dengan pergaulan yang terbatas terhadap kaum sendiri sahaja dan penggunaan bahasa ibunda sendiri sahaja.

Jujurnya, bagaimana integrasi mahu dicipta jika sebegini caranya?

Pada pendapat saya, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil mungkin perlu diteruskan sehingga Tahun Tiga sebelum anak-anak diserapkan ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) mulai Tahun Empat.

Ini bagi membolehkan anak-anak kaum India yang rata-ratanya mungkin agak terpencil daripada segi geografinya memperolehi masa yang cukup untuk dipersediakan ke arus perdana.

Tetapi bagi SJK Cina pula, saya rasa adalah tidak perlu sama sekali memandangkan majoriti rakyat Cina tinggal di bandar-bandar besar dan berkemampuan tinggi dalam segi ekonomi dan fasiliti untuk menyediakan anak-anak mereka untuk terus ke SRK.

Saya percaya langkah ini, walaupun mungkin tidak popular dari segi politik, adalah langkah yang perlu diambil demi kepentingan integrasi nasional di masa depan.

Daripada pengalaman saya beberapa tahun lalu ketika menemuduga calon-calon pekerja untuk jawatan eksekutif dan teknikal untuk pasukan saya, tidak sekalipun saya gagal untuk mengenal pasti mana-mana calon sama ada mereka adalah anak didik SRK atau SRJK, walaupun kesemua mereka telah sekurang-kurangnya memiliki ijazah dan telah beberapa tahun di alam pekerjaan.

Dalam pengamatan saya, calon-calon berpendidikan SJK, terutamanya SJK Cina, selalunya lebih cenderung bergaul sesama mereka dan lebih banyak menggunakan bahasa ibunda mereka yang sudah tentu tidak membantu untuk mewujudkan suasana berpasukan yang jitu.

Oleh itu, saya mengesyorkan kajian semula dibuat untuk membekukan sebarang penambahan SJK (sekolah baharu dan cawangan sekolah yang sedia ada); dan menghapuskan terus konsep pendidikan SJK dengan segera.

ANAK WARISAN



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Forum/20130513/fo_01/SJK-punca-jurang-antara-kaum#ixzz2TDsFYgk0 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: