Malaysia berhadapan ancaman pengganas yang tidak boleh dipandang ringan berikutan terlepasnya penjenayah yang pernah ditangkap dan diusir oleh Malaysia yakni Fadli Sadama (gambar) yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata bagi tujuan kelengkapan gerakan militan. Fadli Sadama ditangkap di Yong Peng pada bulan Oktober 2010 sebelum diusir ke Indonesia lalu dipenjarakan.
Polis buru empat banduan militan Indonesia
KUALA LUMPUR 22 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat pemantauan rapi bagi mengesan kemungkinan empat banduan militan Indonesia yang berjaya meloloskan diri semasa rusuhan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Sumatera Utara, Indonesia baru-baru ini, tidak menyusup masuk ke negara ini.
Pengarah Jabatan Pasukan Khas (Operasi dan Anti Pengganas) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, empat banduan terbabit iaitu Abdul Gani Siregar @ Pautan @ Robi, 28; Nibras @ Arab @ Wawan, 22; Fadli Sadama Mahmudin @ Can @ Zaid @ Fernando @ Buyung @ Ade, 29, dan Agus Sunyoto @ Syafaruddin, 25, telah disabitkan terlibat dalam aktiviti keganasan.
Beliau berkata, keempat-empat lelaki warga Indonesia berkenaan adalah antara 22 banduan yang melarikan diri dari Penjara Tanjung Gusta pada 11 Julai lalu.
"Kesemua mereka mempunyai elemen-elemen militan yang paling dikehendaki setelah terlibat dalam beberapa siri insiden keganasan dan jenayah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, Abdul Gani dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Daerah Medan bagi kesalahan mendatangkan bencana iaitu membakar Balai Polis Hamparan di Deli Serdang, Sumatera Utara pada 22 September 2010 dan terlibat dalam rompakan di CIMB Niaga Medan pada 18 Ogos tahun sama.
Beliau berkata, Nibras dikenakan hukuman penjara selama enam tahun kerana turut terlibat dalam rompakan CIMB Niaga Medan yang sama.
Katanya, Fadli Sadama dikenakan hukuman penjara 11 tahun bagi kesalahan terlibat menyalurkan senjata api bagi rompakan CIMB Niaga Medan, serangan di Balai Polis Hamparan dan menyeludup dadah jenis amphetamine dari Malaysia bagi membiayai kegiatan pengganas.
"Agus pula dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun juga kerana kesalahan terlibat dalam insiden rompakan CIMB Niaga Medan," katanya.
Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sedang memantau dan mengawasi keadaan bagi mengesan kemungkinan empat banduan terbabit menyusup masuk ke negara ini.
Beliau berkata, antara empat banduan tersebut, Fadli Sadama ditangkap di Yong Peng, Johor pada 13 Oktober 2010 kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata api untuk kegunaan kumpulan-kumpulan militan di Indonesia.
Katanya, lelaki terbabit kemudian telah diusir ke Indonesia pada 4 Disember 2010 dan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Medan sebelum dijatuhi hukuman 11 tahun penjara bagi tiga kesalahan berkaitan dengan keganasan.
"Fadli pula mempunyai rangkaian kerja dengan anggota militan Jemaah Islamiah (JI) di Malaysia dan Indonesia serta mahir dalam menggunakan laluan haram antara kedua-dua negara," ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad Fuzi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai empat banduan terbabit supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu polis mengesan mereka.
Katanya, kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan keempat-empat militan itu amat diperlukan kerana mereka mampu menggugat keselamatan negara jika berjaya menyusup masuk ke negara ini.
No comments:
Post a Comment