Wednesday, July 17, 2013

Port kaki ponteng puasa

Teman cuba untuk mencabar diri dengan tidak menjamah nasi pada hari pertama, kedua dan ketiga puasa melainkan hanya makan kurma, kuih muih dan jus pati delima Nar Eksisi serta minum air kosong dengan banyak pada waktu malam. Hanya buka puasa hari ketiga, teman mula menjamah nasi. 

Ternyata, tiada mudarat terhadap badan sehingga perlu teman mencari 'nasi ganja' di tengah hari akibat kelaparan kronik. 

Tetapi menyedihkan melihat orang Melayu yang beratur membeli nasi ganja. Apa alasan mereka untuk tidak berpuasa? Sekadar suka-suka? Atau hendak memberitahu dunia bahawa mereka tidak yakin lagi untuk mengamalkan perintah Allah dalam ajaran Islam?

Tidak berpuasa kerana keuzuran tertentu dan makan dalam ruang tertutup tanpa memberi peluang orang melihat perlakuan tidak puasa itu tidaklah sama berbanding kelakuan di bawah.
 
Port kaki ponteng puasa

KUALA LUMPUR 16 Julai - Jika sekali imbas, pintu pagar sebuah kedai makan berdekatan Istana Budaya di Tasik Titiwangsa dekat sini tertutup rapat seolah-olah tidak beroperasi dan dikunci dari dalam.

Namun, semua itu hanya helah pengusaha kedai terbabit untuk mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa, sedangkan mereka tanpa segan silu menjual nasi campur kepada umat Islam ketika bulan Ramadan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, kedai makan Melayu itu beroperasi seawal pukul 12 tengah hari dan berkemungkinan lebih awal, menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.

Lebih mengejutkan, kedai tersebut bukan sahaja membenarkan pelanggan beragama Islam membungkus makanan masing-masing tetapi turut menyediakan kerusi dan meja kepada orang ramai yang mahu menjamu selera di situ.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, jurugambar sempat merakamkan aksi seorang lelaki dan seorang wanita yang sedang membuka pintu pagar untuk melangkah masuk ke dalam kedai tersebut.

Lagak mereka dan beberapa lagi pelanggan lain yang sedang menjamu selera di situ seolah-olah sudah biasa dan langsung tidak menghiraukan kawasan sekeliling.

Difahamkan, kedai terbabit memang popular bagi kalangan kaki ponteng puasa kerana terlepas daripada tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Tambahan pula, lokasinya boleh dikatakan agak tersorok kerana jalan di hadapan kedai kurang dilalui orang biarpun berada di bahagian belakang Istana Budaya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130717/wk_01/Port-kaki-ponteng-puasa#ixzz2ZHW8RGro 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: