Monday, August 14, 2017

Sistem transit rel Lembah Klang guna nombor laluan ala Seoul, tetapi..

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat mengadaptasi sistem integrasi dan pernomboran laluan tren-tren yang beroperasi sebagai satu sistem yang berintegrasi bagi transit rel yang memberi khidmat kepada 7 juta penduduk Lembah Klang.


Ini mengingatkan kita kepada sistem yang digunapakai di Seoul yang mana bagi mereka yang kerap ke ibukota Negara Ginseng tersebut, pengetahuan mengenai sistem Seoul Metro hanyalah semata-mata bergantung kepada pengecaman laluan mengikut nombor dan warnanya.

Sistem di Seoul juga menjadikan beberapa laluan yang dibina dan diurus oleh pihak yang berbeza, gabungan sistem yang dibangunkan di laluan keretapi, sistem transit aliran massa dan tren lapangan terbang, dan ditadbir oleh pentadbir kota Seoul.

Dengan mengintegrasi kesemua pengangkutan rel ini, kepemilikan kad Touch & Go menjadi satu keperluan penting warga kota kerana ia melancarkan perjalanan ketika pertukaran tren yang berbeza dan pengguna tidak terikat dengan satu-satu destinasi sahaja. 

Cuma perbezaan yang melihatkan kekurangan sistem di Lembah Klang ini ialah hambatan dalam membolehkan penumpang bertukar laluan tren tanpa perlu keluar dari zon berbayar. 

Di Seoul, kesemua stesen pertukaran membolehkan anda untuk turun di sesebuah platform dan tiba di platform laluan pertukaran tanpa perlu sentuh keluar.

Pada pendapat teman, selagi SPAD dan Prasarana tidak dapat memastikan mereka - yang naik tren di Nilai dan turun di Bandar Tasik Selatan untuk bertukar tren ke Putra Heights sebelum menukar tren untuk ke destinasi tujuannya USJ - hanya perlu sentuh masuk di Nilai dan sentuh keluar di USJ , tidak perlulah diperkenal  dahulu sistem nombor laluan ini kerana ia belum mencapai integrasi menyeluruh dan boleh mendatangkan perbandingan yang - faham-faham sahajalah rakyat Malaysia ni - mempersenda.

No comments: