Sabtu, April 12, 2008

Relevankah Barisan Rakyat?

Pemerintah baru negeri Perak yang merupakan kerajaan perikatan DAP-PKR-PAS kini disebut Barisan Rakyat di negeri ini. Tetapi, sejauh manakah Barisan Rakyat mampu membawa maksud yang benar-benar menguntungkan RAKYAT negeri ini selain ideologi politik dan rektorik birokratik semata-mata? Atas sebab yang demikian, dikemukakan situasi-situasi yang dikira sebagai harapan RAKYAT negeri ini yang didambakan pada pimpinan Barisan Rakyat yang kononnya memerintah dengan keutamaan penuh kepada RAKYAT dan semestinya ia merupakan kehendak yang tidak diambil kira oleh kerajaan terdahulu.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru bertindak mengawal pemberian lesen kuari besar-besaran yang sebelum ini mendapat bantahan aktivis pecinta alam kerana memusnahkan keindahan gunung-gunung batu kapur dan gua-gua berusia jutaan tahun di Simpang Pulai yang merupakan KHAZANAH ALAM KEBANGGAAN RAKYAT Perak.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru dapat MENGURANGKAN PENGHIJRAHAN KELUAR RAKYAT negeri Perak ke kota-kota utama di Semenanjung untuk bekerja kerana terlalu jelas kekurangan pekerjaan yang tersedia di negeri ini sejak sedekad lalu. Namun, apa yang menghairankan, pertambahan pekerja asing di negeri Perak semakin meningkat.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru campurtangan dalam pengurusan operasi pengangkutan awam di Ipoh yang terlalu uzur dan menjadi bahan ketawa pelancong luar. PENGANGKUTAN AWAM MERUPAKAN KEPERLUAN RAKYAT. Seharusnya kerajaan Barisan Rakyat menitikberatkan keperluan RAKYAT melebihi segalanya termasuklah untuk MENJAMIN KESELESAAN MOBILITI RAKYAT yang bergantung kepada pengangkutan awam.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru mendatangkan satu angin perubahan sosial yang mampu MEMBENDUNG AKTIVITI TIDAK BERMORAL DI KALANGAN RAKYAT negeri ini bagi memperlihatkan bahawa pemimpin kerajaan negeri yang dinamakan dari parti PAS itu dapat menzahirkan komitmen mereka terhadap MORALITI RAKYAT MUDA-MUDI di negeri Perak yang kononnya hancur akibat pengabaian oleh kerajaan terdahulu.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru mencipta satu tarikan ke negeri ini YANG MENGUNTUNGKAN RAKYAT dan bukannya berasaskan inisiatif swasta yang hanya mementingkan keuntungan. Dengan memajukan Gunung Kledang sebagai kawasan peranginan, ianya mampu MEMBUATKAN RAKYAT PERAK BERASA BANGGA dan Ipoh mampu untuk menarik lebih ramai pelancong yang terpanggil untuk singgah demi sebuah tarikan yang tersendiri.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru meneruskan kesinambungan kerajaan terdahulu menyediakan liputan internet tanpa wayar di Padang Ipoh ataupun kerajaan Barisan Rakyat ini mampu untuk mengambil inisiatif memanjangkan kemudahan internet tanpa wayar percuma ini di lebih banyak kawasan DEMI KEMUDAHAN DAN KURNIAAN ILMU KEPADA RAKYAT.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru memainkan peranan aktif bagi memajukan sistem pengangkutan terkini yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat iaitu perkhidmatan Keretapi Laju Ipoh-Rawang yang akan bermula pada penghujung 2008 dan memainkan peranan untuk memastikan perkhidmatan tersebut MAMPU UNTUK DINIKMATI OLEH RAKYAT yang berpendapatan rendah.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru berusaha memulihkan alam sekitar dengan kawalan atas kegiatan membalak dan penerokaan tanah perkebunan persendirian yang mengakibatkan sungai-sungai di negeri Perak dicemari lumpur dan selut agar destinasi-destinasi perkelahan KEBANGGAAN RAKYAT NEGERI INI TERPELIHARA.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru berusaha mengawal pencerobohan tanah kerajaan negeri serta mengawal aktiviti pengambilan tanah secara berlesen ataupun tidak berlesen bagi memastikan alam sekitar di negeri Perak terjaga serta tersekatnya kegiatan curi tanah secara berleluasa di negeri ini yang berlaku di kawasan simpanan UNTUK RAKYAT GENERASI AKAN DATANG.

Untuk melihat kerajaan Perak yang baru yang dipimpin oleh wakil PAS menitikberatkan penambahbaikan surau-surau bagi sesebuah kawasan perumahan ataupun kampung-kampung kecil agar ianya selamat, kukuh dan tidak menggambarkan bahawa RUMAH IBADAT RAKYAT PERAK BERAGAMA ISLAM ibarat bahan sejarah bagi sebuah struktur yang mudah dimamah usia dan ketinggalan zaman.

Sebenarnya, lebih banyak keperluan RAKYAT yang tidak mungkin difikirkan sebagai penting oleh kerajaan Barisan Rakyat di negeri Perak. Buat masa ini, cukuplah bagi kerajaan Barisan Rakyat di Perak untuk menilai sejauh mana usaha mereka kepada RAKYAT Perak berhubung perkara-perkara di atas. Apakah mereka lebih gemar bermain tarik tali sesama mereka dalam jentera pemerintahan? Ataupun mereka mementingkan kata sepakat untuk MEMPERTINGKATKAN TARAF HIDUP RAKYAT PERAK SEJAJAR DENGAN ZAMAN. Buat masa ini, semuanya masih lagi kabur.

Tiada ulasan: