Saturday, December 15, 2012

BJ Habibie Tak Sama Dengan Anwar?



Saya terpanggil untuk menjelaskan tulisan Tan Sri Zainudin Maidin atau Zam terhadap bekas Presiden Indonesia Ketiga, Dr. Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie) dalam Utusan Malaysia, Isnin, 10 Disember 2012, bertajuk 'Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim'. Rencana ini ditulis bersempena penghormatan yang diberikan oleh Anwar Ibrahim, untuk memberi ceramah di Universiti Selangor (Unisel).

Saya setuju dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mengatakan bahawa Anwar tidak patut memperkudakan Habibie kerana rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk menilai sesuatu perkara dan beliau mengingatkan Anwar supaya mendepani rakyat dengan keupayaan sendiri, tanpa perlu selindung di balik orang luar.

Untuk mengetahui siapa sebenarnya Habibie, Zam boleh membaca dua buah buku yang pernah saya tulis, Genaral Wiranto: The Man Emerging from the Midst of Indonesian Reformation, terbitan tahun 1999 dan Gus Dur: A Peculiar Leader in Indonesia's Political Agony, terbitan tahun 2001. Saya berada di Jakarta pada pertengahan 1997 hingga akhir 1999.

Pengkajian dan pemahaman yang mendalam tentang senario politik Indonesia, saat-saat terakhir pemerintahan Presiden Suharto hingga kuasa politik negara diambil alih oleh seorang pemimpin yang cacat penglihatannya bertaraf ulama, Gus Dur, sudah tentu Zam tidak sanggup menyamakan Habibie dengan Anwar.

Kalau masih ada rakyat di Malaysia yang tidak mengenali Anwar dan masih menyokong beliau, samalah Habibie mungkin tidak mengenal Anwar. Anwar disingkirkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah beberapa bulan Habibie menjadi Presiden Indonesia.

Kalau banyak media asing malahan pelajar Malaysia yang berada di luar negara menyanjungi Anwar, samalah Habibie yang tinggal di Jerman tentu akan menerima pelawaan Anwar untuk memberi ceramah di Unisel.

Andai Zam mengenali Habibie dan menulis tanpa ada agenda politik, Zam tidak akan membuat tuduhan yang mengatakan bahawa Habibie menjadi gunting dalam lipatan terhadap Presiden Suharto. Presiden Suhartolah yang membawa beliau kembali dari Jerman untuk kemudiannya menjadi wakil Presiden Indonesia.

Habibie telah menjadikan Presiden Suharto sebagai seorang saudara tua yang dihormati dan tidak mungkin akan mengkhianatinya. Zam menyatakan Habibie tersingkir kerana mengkhianati negara disebabkan beliau bersetuju dengan desakan Barat supaya mengadakan pungutan suara ke atas penduduk Timor Timur yang masih dalam wilayah Indonesia, menyebabkan Timor Timur terkeluar daripada negara Kesatuan Republik Indonesia pada tahun 1999.

Zam juga menyebut, Habibie mengakhiri jawatan dalam kehinaan setelah menjadi presiden sejak 20 Oktober 1999. Sebenarnya Habibie menjadi Presiden Indonesia pada 21 Mei 1998.

Zam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bahawa Habibie juga menyebabkan berlakunya perpecahan rakyat Indonesia kepada 48 parti politik yang mengakibatkan keadaan politik negara itu dalam porak peranda hingga kini. Hakikatnya, kepelbagaian parti politik di Indonesia ketika ini lebih baik dari segi demokrasi berbanding hanya dimonopoli oleh satu-satu parti sahaja.

Di sinilah peranan Habibie sebagai seorang pemimpin negara yang bertanggungjawab membuat reformasi politik di Indonesia. Zam juga melabelkan Habibie sebagai The Dog of Imperialism.

Beliau seorang pemimpin Islam yang tulen yang banyak membela nasib majoriti penduduk pribumi Indonesia yang beragama Islam. Habibie adalah pengasas pertubuhan Islam, ICMI (The Indonesian Muslim Intellectuals Association), yang mempunyai peranan dalam meningkatkan dasar-dasar Islam di Indonesia di bawah pimpinan Presiden Suharto.

Semasa menjadi Presiden Indonesia, Habibie menghadapi dua tugas yang besar iaitu memulihkan ekonomi negara dan menyediakan mekanisme untuk pemulihan demokrasi terutama desakan mengadakan pilihan raya umum secara demokratik secepatnya. Pilihan raya yang seharusnya diadakan pada tahun 2003, berjaya dipercepatkan iaitu pada tahun 1999.

Selepas sahaja mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia, kenyataan beliau yang paling tidak disenangi oleh kaum minoriti Cina Indonesia ialah, "sesuatu yang tidak dapat diterima akal, apabila minoriti Cina Indonesia yang hanya empat peratus telah menguasai hampir 80 peratus ekonomi Indonesia."

Itulah permulaan nasib buruk Habibie, apabila golongan ini yang bukan sahaja menguasai ekonomi, juga media telah berjaya merendahkan/memburukkan kredibiliti Habibie bukan sahaja dalam kalangan rakyat Indonesia juga dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Habibie terpaksa mengetepikan mega projek yang berkaitan pembangunan teknologi dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat jelata yang terdiri daripada kalangan pribumi yang beragama Islam.

Penekanan diberikan kepada penyediaan barang-barang keperluan, perubatan, pendidikan dan membasmi kemiskinan dalam kemelut ekonomi yang dahsyat akibat krisis ekonomi dunia dan juga akibat pengaliran wang oleh minoriti Cina Indonesia yang menjadi sasaran rusuhan pada bulan Mei 1998, yang membawa kepada peletakan jawatan Presiden Suharto.

Habibie telah menjadikan idea 'Dasar Ekonomi Baru' (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak di Malaysia sebagai mekanisme untuk memperbaiki kehidupan majoriti penduduk pribumi Indonesia yang beragama Islam.

Habibie sedar kesalahan yang dilakukan oleh Presiden Suharto yang mementing keluarganya dan memberi peluang seluas-luasnya kepada korporat minoriti Cina Indonesia untuk menguasai ekonomi kerana Suharto percaya golongan minoriti Cina Indonesia sahaja yang dapat membangunkan dan memajukan ekonomi Indonesia. Pinjaman besar-besaran diberikan kepada golongan ini tanpa dikenakan cagaran. Di sini bermulanya kegiatan korupsi dan nepotisme.

Zam seharusnya sedar bahawa selepas terjadinya rusuhan, golongan minoriti Cina Indonesia menjadi sasaran serangan rusuhan kerana kaum pribumi merasakan mereka ditindas dan dieksploitasi oleh golongan ini. Mereka terpaksa lari keluar negara dengan membawa wangnya sekali ke negara-negara Barat dan banyak juga yang mengalir ke Singapura. Hal ini telah membawa padah kepada ekonomi Indonesia, nilai rupiah jatuh daripada Rp3,000 ke paras Rp16,000 untuk AS$1.

Habibie berjaya menstabilkan dan menaikkan nilai wang rupiah ke paras Rp6,000 bersamaan AS$1 seperti yang dicatatkan pada akhir era pemeritahan beliau selama 17 bulan.

Oleh sebab media-media utama di Indonesia dimiliki dan kuasai oleh korporat minoriti Cina Indonesia dan pribumi yang beragama Kristian, kredibiliti Habibie sebagai Presiden Indonesia dipersoalkan. Mereka mahukan pemimpin seperti Megawati, ketua parti PDI-P (Parti Demokratik Indonesia - Perjuangan). Parti ini mewakili puak nasionalis dan Kristian, dan mendapat sokongan kewangan daripada korporat minoriti Cina Indonesia.
Gus Dur menjadi Presiden Indonesia, adalah suatu kompromi antara parti-parti Islam dan mendapat sokongan daripada golongan nasionalis dan pribumi bukan Islam.

Zam mungkin sedar bahawa Gus Durlah yang banyak mempunyai persamaan dengan beberapa pemimpin PKR. Beliau ialah ulama yang mengetuai suatu pertubuhan Islam yang besar dan berpengaruh - Nadhlatul Ulama (NU). Beliau pernah menubuhkan Forum Demokrasi (Fordem) untuk mencabar kehadiran ICMI, yang diketuai oleh Habibie. Fordem terdiri daripada golongan intelek Indonesia berbagai-bagai agama.
Walaupun hampir buta, Presiden seperti ini yang dikehendaki oleh golongan minoriti Cina Indonesia dan masyarakat antarabangsa. Kepercayaan Gus Dur kepada sekularisme menyebabkan beliau mendapat sokongan padu daripada penduduk Indonesia yang bukan beragama Islam.

Habibie tidak dapat mempertahankan kuasa politiknya disebabkan dua isu iaitu 'Terkeluar Timor Timur daripada Indonesia', yang ditentang oleh pihak tentera Indonesia dan 'Skandal Bank Bali', konspirasi yang dilakukan oleh orang kepercayaannya.

Saya kutip beberapa kenyataan media berbahasa Inggeris mengenai BJ Habibie, pada saat akhir pemerintahannya sebagai Presiden Indonesia, yang membuktikan bahawa beliau tidak boleh disamakan dengan Anwar Ibrahim.

"Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Presiden walaupun beliau seorang sangat bersih dan jujur kerana beliau dikelilingi oleh ramai orang yang tidak bersih." (Far Eastern Economic Review, 9 September 1999).

"Seorang pemimpin yang mempunyai wawasan, berpegang kuat kepada ajaran Islam, tidak mementingkan diri sendiri, beliau hanya mempunyai 17 bulan untuk membantu negaranya keluar daripada kemelut ekonomi. Beliau berjaya membina asas politik yang lebih demokrasi. Habibie melakukannya secara bijaksana dan rasional berlandaskan kepada prinsip agama." (Asiaweek, 22 Oktober 1999)

"Habibie mengharapkan keabsahan pemerintahannya yang berdasarkan prestasi, namun beliau memimpin negara yang dalam persekitaran yang tidak rasional. Habibie telah cuba sedaya upaya untuk mentadbir negara secara rasional tetapi rakyat Indonesia tidak semestinya rasional sebagaimana dirinya. Persoalannya, ketidakrasional ini digambarkan dengan pemilihan seorang pemimpin yang hampir buta sebagai Presiden untuk memimpin negara yang dalam keadaan krisis ekonomi dan sosial yang kritikal? (Indria Samego, political scientist, dalam Jakarta Post 26 Oktober 1999)

Saya tidak hairan kalau Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup menunggu dua jam untuk mendengar ucapannya sebagai seorang ahli teknokrat bukan sebagai seorang ahli politik. Indonesia mempunyai lebih 200 juta penduduk. Tentulah negara ini boleh mengeluarkan beberapa peratus penduduknya yang genius seperti Habibie.

Saya pernah mengikuti ceramah BJ Habibie dan terpegun mendengar kisah pengalamannya. Mungkin Dr. Mahathir juga menghargai Habibie bukan sebagai ahli politik tetapi sebagai ahli teknokrat yang beragama Islam yang telah mengharumkan nama Indonesia dan Islam bukan sahaja di Jerman juga di pentas antarabangsa. Beliau sekarang menetap di Jerman yang bagi saya adalah 'the right place and the right time for the right man'.

p/s : Jelas? Politik negara ini tidaksama dengan politik Indonesia. Menyamakan seorang 'gila kuasa' di negara ini dengan seorang yang 'tak mementingkan kuasa' di sana adalah salah. Menariknya, persamaan Anwar adalah dengan Gus Dur,bukannya BJ Habibie. Sempena lawatan Susilo Bambang Yudhoyono pada 18 Disember ini, tidak perlulah bekas ahli politik yang disanggah ini meneruskan polemik mengheret suara-suara yang tidak dimahukan dari negara itu. Pola pemikiran dan tolak ansur kita telah jauh maju dari mereka. Tidak perlu menarik rakyat ini ke belakang untuk menyamai mereka. TIDAK PERLU JUGA MEMBANGSATKAN ORANG LAIN YANG LEBIH TAHU HANYA KERANA ANDA TIDAK TAHU.

No comments: