Thursday, October 16, 2014

Indonesia mahu Malaysia serius selesai isu sempadan laut

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan nada kesalnya kerana persempadanan laut antara Indonesia dan Malaysia belum selesai.

Ia membuat perbandingan pula tentang sempadan laut Indonesia dengan Singapura, Filipina dan Timor Leste yang menurutnya telah selesai.

Tetapi apa yang tidak disebutkan olehnya ialah panjang sempadan laut Indonesia dan negara-negara yang disebutkan itu.

Lihatlah peta di bawah, adakah dengan sempadan laut sepanjang ini, segalanya mudah diselesaikan? Apakah usaha-usaha pakar maritim negara ini selama ini cuba diperkecilkan?




Malaysia diseru serius selesai isu sempadan laut

Oleh Saharuddin Musthafa

JAKARTA 15 Okt. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyeru Malaysia lebih serius dalam menyelesaikan masalah sempadan maritim dengan negara ini.

Menurut beliau, perbincangan yang diadakan dengan kerajaan Malaysia selama ini masih belum menemukan jalan penyelesaian berbanding dengan negara-negara serantau lain.

"Perbincangan mengenai isu sempadan maritim dengan Malaysia kurang mencapai kemajuan," kata Susilo selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan Penetapan Sempadan Maritim di sini kelmarin.

Sehubungan itu, media tempatan melaporkan, Susilo yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober ini mengharapkan Malaysia agar segera membincangkan mengenai persoalan itu agar dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Saya menyeru pada Malaysia, mari kita serius dalam semangat tinggi dan tulus untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Dalam laporan media tempatan, Susilo memberitahu, perbincangan isu sempadan maritim dengan negara jiran lain seperti Singapura, Filipina dan Timor Leste berjalan lancar.

Pada masa sama, Susilo berkata, beliau menyerahkan kepada penggantinya, Joko Widodo atau Jokowi untuk meneruskan perbincangan dengan Malaysia berhubung perkara itu.

Empat kawasan sempadan laut yang masih belum dapat ditetapkan dua negara itu melibatkan Selat Melaka, Melaka Selatan, Laut Cina Selatan dan Laut Sulawesi. - UTUSAN



No comments: